Rabu, 24 April 2019 | 10:11pm
ANTHONY Loke.
ANTHONY Loke.

Kementerian Pengangkutan sedia kerjasama pastikan pelabuhan tidak jadi tempat pelupusan sampah

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan akan bekerjasama dengan Kementerian Tenaga, Sains Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagi memastikan pelabuhan di Malaysia tidak dijadikan tempat pelupusan sampah antarabangsa.

Menterinya, Anthony Loke, berkata pihak kementerian juga akan bekerjasama dengan pengendali pelabuhan dan syarikat perkapalan bagi menyemak semula prosedur berkaitan supaya tidak berlaku penyeludupan masuk sisa buangan.

“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri tadi, Menteri Tenaga, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, ada membangkitkan mengenai perkara itu dan beliau akan memanggil satu mesyuarat bersama semua agensi yang terbabit bagi mengkaji semula pelbagai prosedur.

“Jadi kita di peringkat Kementerian Pengangkutan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kerana perkara ini membabitkan prosedur dan peraturan pelbagai agensi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau mengulas penemuan 24 kontena dari Sepanyol berisi sisa plastik tercemar yang tidak boleh dikitar semula di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor dalam operasi kelmarin.

Bee Yin dilaporkan berkata penemuan itu menunjukkan wujud salah guna kuasa membabitkan pihak tertentu di pelabuhan negara ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata terdapat keperluan untuk mengkaji semula prosedur kemasukan kargo ke pelabuhan bagi mengelakkan berlaku lagi perkara seumpama itu.

“Kita tidak boleh halang kapal untuk masuk ke pelabuhan kita, kerana tidak semua kontena yang dibawa itu adalah salah. Mungkin sebahagian. Kita tidak boleh lakukan perkara itu kerana kita adalah negara perdagangan.

“Kita tidak boleh bagi mesej yang salah kepada industri perkapalan apa yang boleh dilakukan adalah kita kaji semula prosedur bagi memastikan kargo yang dibawa masuk ke negara ini adalah mematuhi undang-undang dan dibenarkan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X