Jumaat, 26 April 2019 | 3:22pm
TUNKU Azizah berkenan melihat dari dekat pelbagai menu masakan tradisi Sarawak seperti Bubur Pedas dan Linot selepas melawat Muzium Ranee Brooke di Kompleks Mahkamah Lama. - Foto BERNAMA
TUNKU Azizah berkenan melihat dari dekat pelbagai menu masakan tradisi Sarawak seperti Bubur Pedas dan Linot selepas melawat Muzium Ranee Brooke di Kompleks Mahkamah Lama. - Foto BERNAMA

Raja Permaisuri Agong lawat Muzium Ranee Brooke

KUCHING: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berangkat melawat Muzium Ranee Brooke di bangunan Mahkamah Lama Kuching, di sini, hari ini.

Baginda yang diiringi isteri Ketua Menteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, serta Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkenan melihat pameran produk kraftangan yang diadakan.

Tunku Azizah turut berkenan menyertai demonstrasi masakan tradisional Sarawak serta bersalaman dengan beberapa peserta Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) yang mengadakan program di situ.

Ketika di Muzium Ranee Brooke, baginda dipersembahkan cenderamata diraja oleh Kerajaan Sarawak berupa senaskhah buku ‘Songket dan Keringkam: Warisan Melayu Sarawak’, sehelai tudung keringkam dan sebuah beg tangan yang disulam khas daripada keringkam emas.

Tunku Azizah dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dijangka berangkat pulang ke Kuala Lumpur, petang ini, selepas melakukan lawatan rasmi dua hari ke Sarawak.

Baginda berdua mencatat sejarah sebagai pasangan diraja pertama berkunjung ke Lebuh India, sebuah pusat membeli-belah pejalan kaki yang terkenal dalam kalangan masyarakat tempatan di sini, semalam.

Ini adalah lawatan sulung baginda berdua ke Sarawak selepas Sultan Abdullah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lalu, untuk memperkukuh ikatan silaturahim dengan penduduk di negeri ini. – BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X