Ahad, 28 April 2019 | 2:26pm
Datuk Husam Musa. - Foto Syamsi Suhaimi

Husam sedia jadi orang tengah tuntut royalti

BACHOK: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Husam Musa, menyatakan kesediaannya untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan tuntutan royalti petroleum antara kerajaan negeri dan Pusat.

Husam berkata, kesanggupannya itu adalah kerana sejak awal lagi beliau memperjuangkannya (tuntutan royalti minyak)..

“PAS sepatutnya guna saya untuk menjadi orang tengah kerana saya yang memperjuangkan hak ini (royalti minyak).

“Oleh kerana PAS tidak menggunakan khidmat saya, menyebabkan lambat sikit dapat royalti.

“Nak buat macam mana memandangkan kerajaan negeri mempunyai pakar, khidmat orang macam saya tidak diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penuaian Padi Jenis UKMRC8 yang dihasilkan oleh penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia di Bendang Badak Mati, di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri Kelantan berharap wakil Kerajaan Pusat dan Petroliam Nasional Berhad ( PETRONAS) hadir ketika sesi keputusan penarikan saman royalti minyak di mahkamah pada 17 Mei akan datang.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata keputusan penarikan saman oleh Kelantan di mahkamah sepatutnya dijalankan pada 17 April lalu, namun tiada wakil Kerajaan Pusat dan PETRONAS.

Mengulas lanjut, Husam yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), berkata jika PAS mahu bekerjasama dengannya untuk menjadi orang tengah dalam isu tuntutan royalti minyak itu, beliau akan mengalu-alukan.

“Saya sudi jika kerajaan mahu dapatkan bantuan saya, dan saya sentiasa terbuka untuk membantu kerajaan negeri menyelesaikan tuntutan ini,” katanya.

Berita Harian X