Selasa, 30 April 2019 | 3:28pm
PENGERUSI ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman menyampaikan ucaptama pada majlis Kajian Semula Sistem dan Undang-undang Pilihan raya Malaysia di Kuantan, hari ini. - Foto Zulkepli Osman
PENGERUSI ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman menyampaikan ucaptama pada majlis Kajian Semula Sistem dan Undang-undang Pilihan raya Malaysia di Kuantan, hari ini. - Foto Zulkepli Osman

ERC syor undang-undang media untuk pilihan raya

KUANTAN: Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) mencadangkan supaya undang-undang pengamal media diwujudkan bagi memberi liputan adil kepada semua pihak ketika pilihan raya.

Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, berkata pihaknya sudah berbincang dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berhubung perkara itu supaya laporan media sepanjang pilihan raya bersifat terbuka dan tidak dipengaruhi mana-mana parti politik.

“Saya sudah berbincang dengan menteri dan dia berjanji untuk mengkaji secara serius bagaimana SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) boleh mengawal media terutama media sosial supaya tidak menjadi sesuatu yang boleh memburukkan keadaan sekali gus bertentangan dengan amalan demokrasi.

“Ini bagi menentukan supaya pilihan raya yang dijalankan di masa depan adil serta dapat mewujudkan politik matang. Media sosial amat rumit untuk dikawal dan kita sedang mengkaji dengan melihat kaedah yang diguna pakai di negara maju, namun tetap ada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada majlis Kajian Semula Sistem dan Undang-undang Pilihan raya Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini belum ada undang-undang khusus yang dapat mengawal pergerakan media pada musim pilihan raya.

Katanya, undang-undang yang diwujudkan itu nanti akan meliputi semua media rasmi kerajaan serta swasta termasuk kawalan media sosial yang perlu diberikan perhatian dengan adanya undang-undang yang sesuai.

“Ini bagi menentukan liputan yang dilakukan itu adil kepada semua pihak serta dapat menghidupkan demokrasi dalam pilihan raya. Sebelum ini, masih wujud ketidakadilan di pihak media yang dikawal oleh pihak pemerintah.

“Tetapi, sejak beberapa kali pilihan raya kecil (PRK) diadakan, sudah nampak budaya memberikan keadilan kepada semua ini sudah dipraktikkan. Namun, dengan adanya undang-undang ini, SPR akan dapat mengawal media supaya memberi layan yang adil kepada semua parti,” katanya.

Ab Rashid berkata, satu perjumpaan dengan pengarang agensi media akan diadakan Sabtu ini bagi mendengar pandangan dan pendapat berhubung pelaksanaan undang-undang terbabit.

“Saya akan berjumpa dengan semua editor dan orang kuat agensi media untuk berdialog bagi mendengar pendapat dan cadangan mereka supaya dapat mewujudkan pilihan raya yang adil.

“Kita akan gunakan semua saluran bagi mendapatkan sesuatu yang konkrit sebelum dapat melaksanakan undang-undang ini,” katanya.

Berita Harian X