Selasa, 30 April 2019 | 9:07pm
SYED Saddiq.

KBS bina gelanggang pelbagai guna di Pulau Mabul

SEMPORNA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membina gelanggang bola keranjang serta gelanggang pelbagai guna di Pulau Mabul untuk kegunaan anak muda di situ melakukan aktiviti sukan dan beriadah pada waktu malam.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata inisiatif itu juga bagi menggalakkan anak muda di Pulau Mabul melakukan aktiviti sihat, sekali gus menghindari perkara tidak bermanfaat.

Beliau berkata, pembangunan gelanggang itu selari dengan perancangan Program Sukan Luar Bandar yang sedang dilaksana KBS.

“Ini bagi memberi peluang seluas-luasnya kepada rakyat dalam kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40) terbabit aktiviti sukan, seterusnya menyertai pertandingan di peringkat lebih tinggi, selain memberikan ruang kepada golongan sasar khususnya remaja membudayakan gaya hidup sihat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Syed Saddiq sebelum ini meluangkan masa melawat sekitar kampung di Pulau Mabul bagi melihat sendiri aktiviti anak muda dan kemudahan diperlukan penduduk setempat.

Sepanjang lawatannya ke pulau itu, pelbagai aktiviti sukan diadakan bersama komuniti tempatan seperti pertandingan bola sepak pantai, bola tampar pantai dan pertandingan bola keranjang.

Berdasarkan sambutan ditunjukkan penduduk sepanjang lawatannya, beliau yakin usaha positif KBS diterima baik.

Hadir sama dalam lawatan itu, Ketua Setiausaha KBS, Waitchalla Suppiah serta Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Datuk Hatipah Ibrahim.

Semalam, Syed Saddiq yang hadir pada perasmian Program Sukan Luar Bandar di Kunak melahirkan hasrat melawat sekurang-kurangnya sebulan sekali ke Sabah atau Sarawak bagi mencari kawasan fokus bagi pembangunan infrastruktur sukan di kawasan luar bandar.

Katanya, KBS mempunyai banyak perancangan membangunkan sukan luar bandar di Sabah dan Sarawak. – BERNAMA

227 dibaca
Berita Harian X