Rabu, 1 Mei 2019 | 8:58am
MENTERI Industri Utama Teresa Kok (kiri) melancarkan program 'Saji Sayangi Sawitku' di Kompleks Kurier dan Pergudangan FGV, Seksyen 15. - NSTP/Roslin Mat Tahir

Cukai eksport MSM ditangguhkan hingga akhir tahun

SANDAKAN: Kerajaan menangguhkan pelaksanaan cukai eksport 4.5 peratus yang sepatutnya dikenakan apabila harga minyak sawit mentah (MSM) melebihi RM2,250 satu tan, bermula hari ini hingga 31 Disember depan.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata permohonan kementeriannya berhubung penangguhan itu diluluskan Kementerian Kewangan, semalam, bagi mengurangkan lebihan minyak sawit di dalam negara, sekali gus memudahkan eksport MSM ke luar negara.

Justeru, beliau berkata, pengeluar dan pengeksport minyak sawit perlu menggunakan peluang dalam tempoh tujuh bulan terbabit untuk mengeksport hasil mereka secepat mungkin.

“Hari ini (semalam), saya menerima surat daripada Kementerian Kewangan meluluskan permohonan daripada Kementerian Industri Utama bagi penangguhan cukai atau duti eksport MSM yang sepatutnya dikenakan pada harga RM2,250 (satu tan).

“Ini memudahkan sesiapa mahu mengeksport lebihan MSM ke luar negara untuk membuat perancangan. Mereka bimbang apabila sampai harga RM2,250 (satu tan), akan membayar cukai 4.5 peratus. Sekarang, mereka tidak perlu bimbang kerana tujuh bulan akan datang adalah bebas cukai eksport,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Dialog Penanam Sawit Bersama Menteri Industri Utama di sini, malam tadi.

Kok berkata, pengecualian duti eksport itu juga akan memanfaatkan pekebun kecil apabila hasil keluaran mereka lebih cepat diterima kilang kelapa sawit.

Mengenai permintaan daripada luar negara selepas pengecualian duti eksport itu, beliau berkata, China berjanji akan menambah pembelian minyak sawit, manakala kerajaan juga sedang melihat pasaran baharu bagi mengeksportnya.

Katanya, ia termasuk benua Afrika dan negara Arab, selain Russia yang menyatakan kesanggupan untuk membeli lebihan MSM di negara ini, namun kerajaan memerlukan masa untuk menjalankan urus niaga.

“Apa yang penting sekarang apabila kerajaan sudah mengecualikan duti eksport 4.5 peratus, pengeluar sawit perlu cepat-cepat mengeksport minyak sawit.

“Kita juga berharap akan dapat mencapai 100 peratus sasaran pelaksanaan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di seluruh industri kelapa sawit hingga akhir tahun ini,” katanya.

Ditanya mengenai antara keluhan pengusaha kelapa sawit dalam dialog itu pula, Kok berkata, selain harga sawit yang rendah, turut dibangkitkan ialah kekurangan tenaga kerja dan isu berkaitan cukai jualan MSM sebanyak 7.5 peratus dikenakan kerajaan negeri terhadap pengusaha sawit di Sabah.

Beliau berkata, semua isu berkenaan sudah dipanjangkan kepada kementerian berkaitan dan kerajaan negeri, namun masa diperlukan untuk mencari langkah membantu pengusaha.

328 dibaca
Berita Harian X