Jumaat, 3 Mei 2019 | 3:22pm
MUHYIDDIN menyampaikan ucapan pada majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Sudah serah nama calon - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Nama pegawai kanan polis yang bakal mengisi kekosongan jawatan Timbalan Ketua Polis Negara bakal diumumkan dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kementeriannya sudah menyerahkan nama calon pengganti dan sedang menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pelantikan itu.

“Kita sedang menunggu perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong. Siapa yang bakal mengisi jawatan itu akan diketahui dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Negara (KPN) di antara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dengan KPN yang baharu, Datuk Seri Abdul Hamid Bador di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Pelantikan baharu Timbalan Ketua Polis Negara bagi mengisi kekosongan berikutan persaraan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim pada 17 Mac lalu, sebelum jawatan berkenaan dipangku Abdul Hamid yang ketika itu Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman.

Ditanya pengisian kekosongan tiga lagi jawatan pengarah jabatan Polis Diraja Malaysia Malaysia (PDRM) iaitu Pengarah Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Muhyiddin berkata perkara itu sedang dalam perbincangan.

“Perkara ini akan diselesaikan tidak lama lagi,” katanya.

Jawatan Pengarah Cawangan Khas dipangku Timbalan Pengarah 1 Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ramli Hassan berkuat kuasa esok berikutan Abdul Hamid selaku penyandang jawatan itu dilantik sebagai KPN.

Jawatan Pengarah JSJ pula dipangku Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi JSJ Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed selepas penyandangnya, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd bersara wajib pada 13 Mac lalu.

Jawatan Pengarah JSJN dipangku Timbalan Pengarah (Perlucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan) JSJN, Datuk Kamarul Zaman Mamat apabila penyandangnya, Datuk Seri Mohmad Salleh bersara wajib, 24 April lalu.

Berita Harian X