Sabtu, 4 Mei 2019 | 3:41pm
Pengerusi ERC, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Laporan awal ERC akhir tahun ini

KUALA LUMPUR: Laporan interim Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) dijangka diserahkan kepada kerajaan pada penghujung tahun ini.

Pengerusi ERC, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata laporan itu menyenaraikan 16 komponen penting yang mengandungi ratusan cadangan bagi memperbaiki sistem demokrasi pilihan raya.

Komponen penting yang disenarai termasuk berkaitan sistem pilihan raya, undang-undang berkaitan, pembentukan kerajaan sementara, pemerkasaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), persempadanan kawasan dan daftar pemilih.

Selain itu, ERC juga sedang meneliti dan menyemak semula laporan mengenai dana politik yang pernah disediakan kerajaan terdahulu untuk dimasukkan dalam komponen berkenaan.

“Laporan awal akan diserahkan kepada kerajaan pada penghujung tahun ini sebelum laporan penuh yang dilengkapi cadangan draf penggubalan undang-undang menyusul, pertengahan tahun hadapan.

“Cadangan ini dirangka untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi yang setaraf dan diamalkan negara maju seperti yang dikehendaki kerajaan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Program Libat Urus ERC Bersama Pengamal Media di Wisma Bernama di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, mandat untuk memperkasakan SPR diberikan kepada ERC.

“Kita mahu SPR menjadi satu badan yang bukan sahaja bebas tetapi kuat sehingga tiada sesiapa termasuk kerajaan boleh sentuh,” katanya.

Ditanya mengenai komponen penting yang akan diberi perhatian, Abdul Rashid berkata, mereka sedang memperhalusi cadangan mengenai undang-undang berkaitan pilihan raya sedia ada, daftar pemilih dan sistem pilihan raya.

“Banyak benda yang tiada khususnya yang membolehkan SPR menjadi kuat. Ada cadangan untuk ia ditambah atau mungkin ada perkara yang akan dikeluarkan nanti.

“Menerusi daftar pemilih, kita akan mencadangkan usul mengenai proses pembersihan mereka yang sudah meninggal atau sudah berpindah.

“Malah cadangan penambahbaikan sistem juga akan dilakukan untuk kesesuaian dan keadilan. Contohnya cadangan mereka yang bermastautin di luar tidak lagi boleh mengundi di tempat asal,” katanya.

ERC ditubuhkan oleh kerajaan pada 28 Ogos 2018, dianggotai 20 ahli pelbagai latar belakang dan diberi masa selama dua tahun untuk melakukan kajian penambahbaikan pilihan raya.

Berita Harian X