Ahad, 5 Mei 2019 | 3:02pm
Lebih tiga juta keluarga di negara ini berisiko tinggi terbabit penyalahgunaan dadah. - Foto hiasan

Tiga juta keluarga di Malaysia berisiko terjebak dadah

DUNGUN: Lebih tiga juta keluarga di negara ini berisiko tinggi terbabit penyalahgunaan dadah berikutan elemen persekitaran kehidupan yang tidak konduksif, kata Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Beliau berkata, penduduk yang tinggal di kawasan penempatan nelayan, projek perumahan rakyat dan tanah rancangan FELDA antara dikesan paling terdedah serta berisiko.

Katanya, setakat ini 178 kawasan dikenal pasti berdepan risiko masalah penagihan dan pengedaran dadah.

“Kawasan berisiko itu dikategorikan sebagai zon merah kerana ada lokasi penagihan dadah, ramai penagih serta banyak kes jenayah yang mungkin disumbangkan penagih terbabit.

“Kita sudah mengambil tindakan dan perhatian di kawasan berkenaan dengan mengadakan pelbagai program kepada penduduk termasuk pelajar di sekolah ,” katanya ketika merasmikan Program Family On Alert di Kampung Seberang Pintasan di sini, hari ini.


Zulkifli (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Alias sempena majlis Family On Alert di Kampung Seberang Pintasan, Dungun, hari ini. - NSTP/Rosli Ilham

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun; Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Abdul Rahman Hamid dan Pengarah AADK Terengganu, Roslan Husin.

Zulkifli berkata, jumlah itu juga menunjukkan Kelantan, Perak dan Johor antara negeri tertinggi berdepan kancah dadah.

“Sepanjang tahun lalu, AADK mengesan 162,000 penagih dan kebanyakan penagih dikesan berusia antara 19 tahun hingga 39 tahun.

“Antara dadah paling popular dalam kalangan penagih ialah methamphetamine, syabu dan pil kuda,” katanya.

Berita Harian X