Isnin, 6 Mei 2019 | 3:09pm
PENGERUSI Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi. - Foto Abdullah Yusof.

Larangan imam luar solat Tarawih: Ketengahkan huffaz tempatan - EXCO

IPOH: Langkah Jabatan Mufti Perak tidak membenarkan imam dari luar negara menjadi imam ketika solat sunat Tarawih di seluruh surau dan masjid di negeri itu bertujuan mengetengahkan keupayaan huffaz tempatan yang ketika ini sudah semakin ramai dilahirkan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi, berkata apa yang dilaksanakan itu sebenarnya adalah langkah baik dalam menggalakkan pembabitan anak muda khususnya golongan huffaz yang belajar di banyak Maahad Tahfiz di negeri ini untuk diketengahkan.

"Jika kita tidak menggunakan kelebihan yang huffaz ini ada untuk dijadikan imam solat sunat Tarawih, maka kita tak memberikan mereka peluang untuk mengamalkan apa yang mereka pelajari.

"Ini kerana menjadi kelaziman bagi jemaah dan makmum solat sunat Tarawih yang mempunyai jangkaan tinggi terhadap persembahan dan bacaan imam solat Tarawih kerana mereka mahukan kelainan dari segi bacaan dan tarannum (lagu) ayat al-Quran yang dibaca berbanding imam biasa yang selalu bertugas," katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan ringkas Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria Jumaat lalu yang tidak membenarkan semua masjid dan surau di negeri melantik imam luar negara menjadi imam solat Tarawih.

Harussani dipetik berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah bertitah untuk tidak membenarkan pelaksanaan itu dan sebagai menjunjung titah tuanku, Jabatan Mufti Perak mengesyorkan agar masjid-masjid dan surau-surau di negeri Perak menggunakan khidmat pelajar-pelajar tahfiz tempatan.

Asmuni berkata, bagaimanapun imam dari kalangan huffaz yang dipilih sebagai imam Tarawih perlulah menepati kehendak dan kemahuan jemaah kawasan masjid dan surau berkenaan iaitu mempunyai bacaan yang merdu dan berlagu serta membaca dengan tajwid yang betul.

"Dalam pada (masjid dan surau) buat pilihan, kena juga berhati-hati kerana tidak semestinya imam daripada huffaz keluaran Maahad Tahfiz ini semuanya mempunyai bacaan baik, yang sedap dan berlagu serta baik tajwidnya.

"Yang penting adalah tajwid dalam bacaannya dan yang keduanya adalah tarannum atau lagu bacaannya kerana apabila mempunyai bacaan baik bertajwid, berlagu dan sedap didengar, maka makmum dan jemaah yang mendengar juga akan seronok dan bersemangat, itu yang kita nak.

"Pesanan saya, Ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau nak melantik (imam huffaz) ini janganlah buat (lantik) sebarangan dan perkara itu perlu diambil kira kerana makmum khususnya ketika Ramadan mahukan sesuatu yang lain daripada yang lain," katanya.

Berita Harian X