Rabu, 8 Mei 2019 | 8:00pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA

Tun M persiap negara sebaik mungkin sebelum serah kuasa

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau sedang mempersiapkan negara sebaik mungkin supaya penggantinya nanti dapat mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan kerajaan dalam keadaan terbaik.

Dalam wawancara bersama media baru-baru ini sempena setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir ketika ditanya sama ada sudah bersedia dengan peralihan kuasa Perdana Menteri dalam tempoh setahun lagi, berkata beliau sudah berjanji akan berundur dan memberi kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya telah berjanji saya akan turun dan memberikan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu sesuatu yang pasti. Tiada cakap-cakap lagi tentang siapa dan apa yang akan dilakukan,” katanya yang juga Pengerusi PH merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Esok, genap setahun Dr Mahathir memimpin gabungan parti di bawah PH melakar antara kejutan terbesar dalam dunia politik, memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei tahun lalu bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.

Beliau yang memenangi kerusi Parlimen Langkawi, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketujuh, sehari selepas kemenangan bersejarah berkenaan.

Mengulas lanjut pelan peralihan kuasa Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata, apabila beliau tidak lagi menyandang jawatan berkenaan, penggantinya tidak perlu mengikut arahan atau apa yang telah dilaksanakannya, sebaliknya bebas melakukan apa yang difikirkan terbaik.

“Saya tidak boleh bercakap mengenai apa yang akan berlaku selepas ini. Tugas saya hanyalah untuk menyediakan negara sebaik mungkin agar ia boleh diambil alih oleh penganti saya,” katanya.

Sebelum ini, Anwar yang juga Presiden PKR dan pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Dr Mahathir ketika kedua-duanya berada dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN), dilaporkan berkata terdapat konsensus dalam kalangan pimpinan PH yang beliau adalah Perdana Menteri kelapan.

Menjelang PRU-14, dilaporkan ada persetujuan dalam kalangan pimpinan PH supaya Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri selama dua tahun sebelum digantikan Anwar.

Namun, Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah seperti dilaporkan media pada 3 Januari lalu, berkata perjanjian ditandatangani PH sebelum PRU-14 tidak menetapkan tempoh masa untuk Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Dr Mahathir.

Beliau juga dilaporkan berkata, tempoh masa tidak ditetapkan oleh pakatan itu sebagai menghormati kedua-dua pemimpin berkenaan yang disifatkan lebih mengetahui berhubung perkara terbabit berbanding orang lain dan boleh memutuskannya.

Dr Mahathir pula ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU pada Disember lalu, membayangkan cadangan beberapa perwakilan parti yang mahu beliau kekal sebagai Perdana Menteri selama sepenggal, tidak boleh dilaksanakan.

Dalam wawancara eksklusif dengan akhbar Sin Chew Daily sebelum itu, Dr Mahathir dipetik berkata, beliau perlukan sedikit masa, iaitu lebih dua tahun sebagai Perdana Menteri kerana harus menyelesaikan banyak masalah ditinggalkan BN dan hasratnya itu diketahui serta tidak dibantah oleh Anwar.

Sementara itu, mengulas hasil kajian Merdeka Center yang memberikan penarafan kurang terhadap beliau, Perdana Menteri berkata, terdapat banyak perkara melalui kajian firma tinjauan pendapat awam itu yang tidak tepat, termasuk menyatakan PH tidak boleh memenangi PRU-14.

“Mereka tidak tanya seluruh negara, hanya tanya sekumpulan orang sahaja. Saya tidak tahu adakah kajian mereka ini betul atau tidak. Saya suka diberitahu sama ada saya betul atau tidak, jadi saya boleh memperbetulkan keadaan," katanya.

Ditanya sama ada pendapat awam terhadap beliau itu betul atau salah faham, Dr Mahathir berkata: “Pastinya terdapat orang menentang saya, yang mahu saya mati, tetapi ada juga orang yang mesra, mereka datang bersalaman dengan saya, senyum dan mengatakan 'I love you'."

Berita Harian X