Isnin, 13 Mei 2019 | 4:45pm
KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa. - Foto Danial Saad
KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa. - Foto Danial Saad

Hutan simpan: Pulau Pinang tak bayar Kedah

GEORGETOWN: Pulau Pinang tidak bercadang membayar pampasan kepada Kedah untuk mewartakan Hutan Simpan Ulu Muda (HSUM) sebagai kawasan tadahan air.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa, berkata urusan bayaran pampasan kepada kerajaan Kedah bagi tujuan itu perlu dilakukan Kerajaan Persekutuan.

“Ini kerana, Pulau Pinang sudah membayar kira-kira RM18 bilion kepada Kerajaan Persekutuan melalui cukai barangan, perkhidmatan dan pendapatan.

“Justeru, Kerajaan Persekutuan sepatutnya menggunakan wang cukai dibayar Pulau Pinang untuk membayar pampasan kepada kerajaan Kedah bagi tujuan berkenaan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan BH mengenai sumber air bagi hampir empat juta penduduk di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis, dikhuatiri terancam jika HSUM tidak diwartakan sebagai Taman Negeri.

BH melaporkan, kegagalan berbuat demikian juga boleh mengancam pengeluaran makanan di kawasan Jelapang Padi Negara yang menerima air dari HSUM bagi tujuan pengairan sawah. Sawah di Kedah dan selatan Perlis menyumbang 45 hingga 50 peratus pengeluaran beras negara.

Sumber air di HSUM boleh terancam melalui aktiviti pembalakan dan penerokaan, sama ada secara sah atau haram serta perubahan iklim.

Dalam pada itu, Jaseni berkata, Pulau Pinang tidak berdepan masalah mengenai keupayaan merawat air mentah, sebaliknya menghadapi kekangan untuk mendapatkan atau menghasilkan sumber air berkenaan.

“Masalah di Pulau Pinang ialah tak cukup bekalan air mentah, manakala keupayaan kita merawat (air) adalah berlebihan. Pulau Pinang kena beli air mentah dari Perak sebab Sungai Muda sudah tidak boleh memenuhi permintaan selepas 2025 nanti.

“Kita ada melihat pilihan air laut sebagai antara punca air mentah bagi Pulau Pinang tetapi kosnya terlalu mahal berbanding air sungai. Kita akan tengok semula cadangan air laut ini selepas habis sumber air dari sungai nanti,” katanya.

Berita Harian X