Selasa, 14 Mei 2019 | 12:57pm

Kementerian Pertahanan mula siarkan laporan siasatan 16 projek 'land swap'

KUALA LUMPUR: Orang awam kini boleh membaca laporan siasatan penuh 16 projek ‘land swap’ tanah Kementerian Pertahanan dengan memuat turun dari portal rasmi kementerian.

Dalam kenyataan medianya, Kementerian Pertahanan memaklumkan Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan Kerajaan disiarkan secara berperingkat mulai semalam sehingga Jumaat ini.

Kata kenyataan itu, Kementerian Pertahanan mengambil serius penemuan, teguran dan syor yang dikemukakan jawatankuasa siasatan ini.

“Kementerian juga membuat dua laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya melakukan siasatan terperinci seterusnya mengambil tindakan lanjut,” menurut kenyataan media itu.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, sebelum ini membentangkan laporan siasatan jawatankuasa di Dewan Negara pada 9 Mei lalu dan mengumumkan laporan itu akan disiarkan secara berperingkat di portal Kementerian Pertahanan.

Mohamad berkata, kerajaan dianggarkan mengalami kerugian atau ketirisan melebihi RM500 juta sepanjang tempoh pelaksanaan 16 projek ‘land swap’ tanah Kementerian Pertahanan di pelbagai peringkat pelaksanaan.

Katanya, kesemua 16 projek ‘land swap’ membabitkan tanah berkeluasan 1,182 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan di antaranya sudah dan akan dipindah milik.

Sementara itu, setakat jam 11 pagi hari ini, BH mendapati hanya tiga laporan boleh dimuat turun iaitu Laporan Kem Hutan Melintang, Perak; Laporan Kem Batu Kentonmen, Selangor dan Laporan Kem Paloh / Kinrara.

Laporan untuk hari ini, masing-masing Laporan Kem Sungai Buloh, Laporan Kem Sungai Besi dan Laporan Kem Batu Pahat, Johor, bagaimanapun masih belum disiarkan untuk dimuat turun.

Tiga laporan yang akan disiarkan esok membabitkan Laporan Kem Transit Kem Wataniah 502 AW, Laporan Kem Terendak Kem Sungai Putat, Melaka dan Laporan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS).

Bagi siaran Khamis pula, ia membabitkan Laporan Kem Brinchang, Pahang; Laporan Kompleks 7 Briged Skudai, Johor dan Laporan Kompleks Markas 2 Divisyen Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Laporan Kompleks Markas Divisyen 1 Muara Tuang, Kuching, Sarawak; Laporan Depot Peluru 71 Batalion Ordnan Divisyen, Laporan Pembangunan Fasiliti Kem Muara Tuang dan Penrissen serta Laporan Fasiliti Skuadron 323 akan disiarkan pada Jumaat ini.

485 dibaca
Berita Harian X