Selasa, 14 Mei 2019 | 9:58pm
ADLY (dua dari kiri) bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Berbuka Puasa Parlimen Masjid Tanah di Masjid Umar Al-Khattab, Lendu. - Foto Khairunisah Lokman

Tanam pokok hutan di kawasan tadahan air secara berperingkat - KM Melaka

ALOR GAJAH: Kerajaan negeri memberi jaminan untuk ‘menghutankan’ kawasan tadahan air di sekitar tiga empangan utama di negeri ini dengan penanaman pokok hutan secara berperingkat dalam tempoh 10 tahun.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata bagi tujuan lestari itu, kerajaan melalui Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka akan menyemak semula beberapa pajakan tanah milik kerajaan negeri kepada pihak swasta bagi aktiviti komersial seperti tanaman kelapa sawit untuk digantikan dengan tanaman 5,000 pokok hutan pada setiap tahun.

“Sebahagian besar kawasan tadahan air yang dipajak ini adalah tanah milik kerajaan negeri. Jadi, tidak timbul soal pengambilalihan tanah, cuma kita akan berunding kerana sebahagian pajakan itu mempunyai perjanjian.

“Sebahagian pajakan tanah yang tamat kita boleh ambil semula, manakala ada yang boleh dirunding semula untuk ditawarkan ke lokasi lain untuk dibuat secara berperingkat untuk tanaman semula pokok hutan.

“Kita yakin mampu mengkelaskan kembali kawasan tadahan air di negeri ini supaya tidak timbul sebarang gangguan bekalan air pada masa depan serta pencemaran di Empangan Durian Tunggal, Empangan Asahan dan Empangan Jus,” katanya.

Adly mengulas laporan muka depan BH hari ini mengenai pewartaan hutan simpan negeri termasuk kawasan tadahan air untuk memastikan kawasan terbabit terus terpelihara pada masa depan.

Terdahulu, Adly ditemui selepas menyampaikan sumbangan bantuan Ramadan dan Majlis Iftar Parlimen Masjid Tanah di Masjid Umar Al-Khattab, Lendu, di sini, sebentar tadi.

Yang hadir sama, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.

Mengulas mengenai langkah pewartaan bagi kawasan rizab tadahan air di negeri ini, Adly berkata, kerajaan negeri sedia mengkaji langkah pewartaan itu dalam usaha melindungi kawasan tadahan air di Melaka daripada sebarang aktiviti komersial khususnya sektor pertanian.

“Kita tidak boleh menebang terus semua pokok kelapa sawit itu kerana dibimbangi mengakibatkan hakisan. Sebab itu, kita akan membuat secara berperingkat untuk digantikan dengan pokok hutan ini,” katanya.

Berita Harian X