Rabu, 15 Mei 2019 | 2:32pm
Anwar menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Belia Kebangsaan 2019 di UKM Bangi, hari ini. - NSTP/Rosela Ismail

Menteri tak wajar berkempen pilihan raya sepanjang masa - Anwar

BANGI: Anggota Kabinet dan ahli politik yang memiliki jawatan dalam kerajaan tidak wajar turun berkempen pada pilihan raya sepanjang masa kerana ia tidak baik untuk pentadbiran negara.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sebaliknya ahli politik yang menjadi penjawat awam perlu mengambil cuti jika mahu turun berkempen pilihan raya.

Susulan itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu mengakui ada keperluan untuk diwujudkan satu prosedur bagi memastikan persaingan adil antara parti kerajaan dan pembangkang pada pilihan raya.

“Kebimbangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu ini adalah larangan ini boleh menjadi satu kekurangan untuk parti kerajaan dalam kempen pilihan raya.

“Saya fikir perlu ada prosedur supaya (kempen pilihan raya) lebih adil, tetapi ia tidak boleh terlalu terbuka kerana nanti menteri turun berkempen setiap masa dan ini tidak baik.

“Jika mahu turun berkempen, mereka perlu ambil cuti, tetapi jika mereka turun untuk hadir program, mungkin ia boleh diterima. Kita perlu bincang perkara ini dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Belia Kebangsaan 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam, yang menyatakan rasa tidak puas hati dengan peraturan SPR melarang anggota Kabinet menjalankan aktiviti berkempen ketika waktu bekerja pada pilihan raya.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, sekatan itu seolah-olah memberi peluang kepada parti lawan yang tidak mempunyai kerja, untuk berkempen selama 24 jam.

Berita Harian X