Rabu, 15 Mei 2019 | 3:08pm
Ahli Parlimen Port Dickson merangkap bekas Presiden Majlis Belia Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucaptama Digital Navative Agenda pada Konvesyen Belia Kebangsaan 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. - Foto Rosela Ismail

Tarikh dilantik PM ke-8 sedang dibincang - Anwar

BANGI: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbincangannya dengan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berhubung peralihan kuasa Perdana Menteri, berjalan dengan baik dan tidak ada sebarang masalah.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR itu, berkata soal mengenai tarikh peralihan kuasa dan hal lain yang berkaitan, biarlah dibincangkan oleh mereka berdua.

“Perdana Menteri sudah beri penjelasan, saya sambut baik. Soal tarikh dan sebagainya, biarlah beliau bincang dengan saya, saya tiada masalah,” katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Belia Kebangsaan 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Anwar berkata, beliau sama sekali tiada masalah dengan proses berkenaan yang sedang berjalan dengan baik dan juga tiada masalah dengan peranan Dr Mahathir selepas penyerahan kuasa.

“Saya tidak ada masalah sama sekali kerana Dr Mahathir punya peranan pada masa sekarang dan beliau harus diberi ruang. Andai kata saya ambil alih (kepemimpinan) pun, peranan Dr Mahathir tetap ada sebagai seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara kita.

“Saya tidak fikir isu (peralihan kuasa) adalah masalah,” katanya mengulas proses pelantikannya sebagai Perdana Menteri yang dijangka dalam tempoh kira-kira setahun dari sekarang, berdasarkan perjanjian dicapai bersama parti komponen PH sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mengenai ulang tahun pembebasannya daripada penjara yang genap setahun hari ini, Anwar menzahirkan rasa syukur dan memanfaatkan kebebasan itu dengan menemui pelbagai pihak termasuk rakan lamanya dari dalam dan luar negara.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V pada 16 Mei tahun lalu selepas rayuan pengampunan penuhnya dipertimbangkan pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Media pada 8 Mei lalu, melaporkan Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berkata beliau sedang mempersiapkan negara sebaik mungkin supaya penggantinya nanti dapat mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan kerajaan dalam keadaan terbaik.

Dalam wawancara bersama media sempena setahun pentadbiran kerajaan PH, Dr Mahathir ketika ditanya sama ada sudah bersedia dengan peralihan kuasa Perdana Menteri dalam tempoh setahun lagi, berkata beliau sudah berjanji akan berundur dan memberi kuasa kepada Anwar.

Berita Harian X