Rabu, 15 Mei 2019 | 5:04pm
PENGERUSI SPAN, Charles Santiago. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

SPAN sokong Kedah wartakan Hutan Simpan Ulu Muda

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), menyokong tindakan kerajaan Kedah mewartakan Hutan Simpan Ulu Muda sebagai Taman Negeri.

Sebagai badan kawal selia industri perkhidmatan air, SPAN melihat tindakan kerajaan negeri itu bagi memastikan kawasan berkenaan kekal terpelihara

Pengerusi SPAN, Charles Santiago, berkata langkah itu juga dapat memastikan sumber bekalan air bebas daripada ancaman pencemaran dan menjamin bekalan air yang berterusan.

“Sehubungan itu SPAN mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir atas usahanya mewartakan hutan simpan.

“SPAN berharap negeri lain mengikut jejak langkah Kedah untuk mewartakan kawasan hutan tadahan bagi menjamin kelestarian sumber air untuk kesejahteraan rakyat sejagat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SPAN berharap Kerajaan Persekutuan juga dapat memainkan peranan dalam menggalakkan lebih banyak negeri mewartakan kawasan hutan tadahan sebagai Taman Negeri atau Taman Negara.

Pada masa sama, kawasan yang diwartakan sebagai hutan terpelihara sebelum ini dapat dikekalkan status pewartaannya.

Berita Harian X