Rabu, 15 Mei 2019 | 6:09pm
Datuk Huzir Mohamed. - Foto Hairul Anuar Rahim

Huzir dilantik Pengarah JSJ berkuat kuasa 17 Jun

Kuala Lumpur: Timbalan Pengarah Risikan/Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilantik sebagai Pengarah JSJ, berkuat kuasa 17 Jun ini.

Beliau memangku jawatan berkenaan sejak 13 Mac lalu, susulan persaraan Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara, Datuk Asmawati Ahmad, berkata Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad, pula dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

Asmawati berkata pertukaran jawatan Mohd Zakaria juga berkuat kuasa 17 Jun ini.

Jawatan Pengarah JSJK sebelum ini disandang oleh Datuk Mazlan Mansor, yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, Isnin lalu.

Berita Harian X