Khamis, 16 Mei 2019 | 2:50pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap dan merasmikan Majlis Apresiasi Festival Guru Malaysia 2019 oleh Menteri Pendidikan di Pusat Konvensyen Setia SPICE, Jalan Tun Dr Awang. - Foto Ramdzan Masiam

Perkasakan TVET bersama penggiat industri

GEORGETOWN: Penggiat industri mesti lebih aktif membangunkan modal insan dan menyokong transformasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata sokongan itu diperlukan bagi membantu meningkatkan kualiti tenaga kerja, terutamanya graduan bidang TVET.

“Sistem pendidikan TVET akan terus berperanan sebagai ‘game changer’ (pencetus perubahan) dalam menghasilkan modal insan berkemahiran tinggi dan meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan serta menjadi enjin pembangunan negara.

“Oleh itu, Kementerian Pendidikan sebagai penyedia pendidikan teknikal dan latihan vokasional mestilah komited untuk memperkasa kerjasama antara industri dan mempergiat kolaborasi merentas institusi TVET,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-48 di Pusat Konvesyen Spice Arena di sini, hari ini.

Sambutan bertemakan “Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi” itu turut dihadiri Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Dr Mahathir berkata, pendidikan TVET bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan negara, malah penting untuk Malaysia menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

“Dalam konteks ini, kemampuan graduan dan tenaga pengajar TVET di institusi latihan perindustrian dilihat mampu menghasilkan ciptaan yang belum pernah dihasilkan sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, usaha untuk menjayakan agenda pendidikan negara tidak seharusnya diletakkan semata-mata pada bahu guru.

Beliau berkata, peranan ibu bapa amat penting dalam menentukan kecemerlangan pendidikan anak-anak dan ibu bapa seharusnya menjadikan sekolah sebagai milik masyarakat.

“Ibu bapa boleh membabitkan diri melalui pelbagai kegiatan sukarela yang dapat membantu meningkatkan prestasi sekolah.

“Dalam konteks ini, Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti boleh memainkan peranan yang proaktif bagi menggalakkan ibu bapa dan sektor swasta untuk menyumbang secara langsung kepada pembangunan sekolah,” katanya.

Ketika mengakhiri ucapannya, Dr Mahathir tersentuh dan dilihat hampir menitiskan air mata.

“Kepada semua guru di Malaysia, sekali lagi saya ucapkan Selamat Hari Guru. Teruskan usaha murni dan yakinlah ia satu amanah dan tugas yang mulia.

“Semoga guru akan diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan,” katanya.

Berita Harian X