Ahad, 19 Mei 2019 | 1:07pm

'Mamaji anak tersangat baik, saya reda pemergiannya'

PASIR MAS: “Mamaji anak yang baik, tersangat baik dan saya reda dengan pemergiannya,” kata Mahamed Ismail Mohamed Yusoff, 69, bapa kepada Mohamad Adam Mohamed Ismail, 29, yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Chef Selebriti yang juga dikenali sebagai Adamdidam meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan kuman di paru-paru di kediaman keluarganya di Telipot, Kota Bharu, jam 4 pagi tadi.

Mahamed Ismail berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu lebih mesra dipanggil Mamaji dalam kalangan keluarga, selain sangat rapat dengan lapan anak saudara terutamanya Fatimah Omar Mukhlis, anak kecil yang popular melalui laman sosial Instagram.

Katanya, sepanjang hayat, anaknya tidak pernah menyusahkannya dan isteri, Bibi Aishah Hukum Khan, 57, malah adik beradik yang lain sangat menyenangi perangai arwah.

“Kali terakhir berbual dengan saya, anak sempat meminta supaya sentiasa mendoakan kesejahteraannya selepas dia jatuh sakit sejak sebulan lalu bermula dengan demam panas.


Mahamed Ismail bersama isterinya menyiram air di pusara Mohamad Adam di Tanah Perkuburan Islam, Lemal. - NSTP/Syaherah Mustafa

“Adam disahkan mengalami jangkitan kuman pada paru-paru dan kami sekeluarga mengambil keputusan menyuruhnya balik berehat di rumah dan mengurangkan aktiviti penggambaran,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam, Lemal di sini, hari ini.

Jenazah Adamdidam disembahyangkan oleh 150 jemaah termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan di Masjid Telipot, Kota Bharu dan selamat dikebumikan jam 11.05 pagi ini.

Sementara itu, kakak sulung arwah, Nor Ashmiza, 43, yang juga pensyarah di United Kingdom (UK) sudah pulang ke tanah air sejak sebulan lalu selepas arwah jatuh sakit untuk menjaganya.

Katanya, dia berasa sedih kerana kehilangan adik bongsu yang sangat baik kepada keluarga, namun reda dengan ketentuan Ilahi.

“Arwah seorang yang kuat semangat malah sepanjang dia jatuh sakit, dia turut bekerja menyiapkan beberapa penggambaran hingga saat akhir.

“Setiap manusia yang hidup pasti akan mati. Saya memohon semua dapat mendoakan adik saya semoga dia ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Berita Harian X