Ahad, 19 Mei 2019 | 4:13pm

Selamat tinggal Mamaji - Fatimah

KOTA BHARU: “Fatimah sempat bercakap dengan arwah Adam yang dipanggil Mamaji sebelum meninggal,” itulah yang dikongsi, Nor Ashfarina Mahamed Ismail, kakak kepada chef selebriti, Mohamad Adam Ismail, yang meninggal dunia, hari ini.

Fatimah Omar Mukhlis adalah anak saudara kepada Mohamad Adam, 29, dan popular di laman sosial Instagram dengan aksi comel bercakap dialek Kelantan biarpun membesar dan menetap di United Kingdom (UK).

Nor Ashfarina, 36, berkata Fatimah adalah antara lapan anak saudara yang sangat rapat dengan arwah adiknya malah hampir setiap hari mereka akan saling berhubung melalui telefon ataupun panggilan video.

“Fatimah sempat bercakap dengan Mamaji kesayangannya sebelum Adam menghembus nafas terakhir jam 4 pagi tadi.

“Kami terpaksa memberitahu perkara sebenar kepada Fatimah melalui telefon kerana dia masih di UK, dan kami dimaklumkan bahawa Fatimah sangat sedih dengan kehilangan Adam.

“Mereka boleh dikatakan berhubung hampir 24 jam semata-mata untuk bertanya khabar dan berkongsi cerita masing-masing, malah arwah Adam tidak pernah jemu melayan Fatimah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Fatimah (kiri) adalah anak saudara kepada Mohamad Adam dan popular di laman sosial Instagram dengan aksi comel bercakap dialek Kelantan. - Ihsan pembaca

Mohamad Adam atau lebih dikenali sebagai Adamidam meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan kuman di paru-paru di kediaman keluarganya di Telipot, di sini.

Jenazah disembahyangkan oleh 150 jemaah termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan di Masjid Telipot, di sini, dan selamat dikebumikan pada jam 11.05 pagi tadi.

Nor Ashfarina berkata, Fatimah dan keluarganya mungkin akan pulang daripada UK, namun belum dipastikan masanya.

“Sudah pasti Fatimah terkejut dengan apa yang terjadi namun kami akan cuba menerangkan kepadanya sebaik mungkin memandangkan dia masih kecil.

“Bukan saja Fatimah, namun anak saudara yang lain turut bersedih dengan kehilangan Mamaji. Ini satu kehilangan besar buat mereka.

“Sebagai kakak, saya reda dengan pemergian Adam dan berharap agar mereka yang mengenali Adam dapat berdoa semoga adik bongsu saya ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Berita Harian X