Isnin, 20 Mei 2019 | 10:07pm
MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Pembelian Helikopter: Jangan buat spekulasi isu sedang disiasat - Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, mengingatkan supaya pihak tidak berkaitan jangan membuat spekulasi terhadap sebarang isu sedang disiasat Jawatankuasa Siasatan Khas Isu-Isu Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Negara, termasuk berhubung pembelian helikopter.

Beliau berkata, ini kerana tindakan berkenaan akan mengganggu proses siasatan.

Katanya, jawatankuasa terbabit yang dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, masih menjalankan siasatan terhadap isu perolehan dan kewangan Kementerian Pertahanan.

“Sebagaimana hasil siasatan jawatankuasa itu berhubung isu ‘land swap’ (pertukaran tanah) sebelum ini, Kementerian Pertahanan akan memanjangkannya kepada Kabinet sebelum membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) didakwa belum menerima enam helikopter tempur ringan jenis MD 530G bernilai RM300 juta, yang mana urus niaga perolehan aset itu dibuat oleh pentadbiran terdahulu.

Portal berkenaan yang memetik sumber rapat dengan penyiasatan ke atas dakwaan rasuah dan salah urus dalam pembelian aset pertahanan, melaporkan helikopter juga dikenali dengan nama ‘Little Birds’ terbabit didakwa ditempah Kementerian Pertahanan ketika itu.

Berita Harian X