Selasa, 21 Mei 2019 | 11:01am
ADA warga asing menambah bilik sewa tanpa pengetahuan tuan rumah di Kampung Baru. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
ADA warga asing menambah bilik sewa tanpa pengetahuan tuan rumah di Kampung Baru. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Eksklusif: Sanggup bayar mahal asal dapat berniaga

KUALA LUMPUR: Kampung Baru mungkin terkenal sebagai perkampungan Melayu terakhir yang bersejarah di ibu negara, namun hakikatnya tempat itu kini ibarat sudah dijajah warga asing.

Ia berikutan kebanyakan penempatan di Kampung Baru dihuni warga asing, khususnya dari Indonesia dan Bangladesh, yang turut memonopoli perniagaan di kawasan berkenaan.

Tinjauan BH di sekitar Kampung Baru mendapati warga Indonesia dan Bangladesh menguasai perniagaan runcit dan kedai makan. Antaranya di Jalan Raja Alang, Jalan Raja Muda Musa, Jalan Hamzah dan Jalan Haji Yahya Sheikh Ahmad.

Malah, warga asing turut berani menambah binaan haram pada rumah sewa dengan mendirikan lebih banyak bilik untuk rakan mereka hingga menampakkan seolah-olah wujud setinggan di Kampung Baru, yang mencacatkan imej perkampungan Melayu itu.

Antaranya di Jalan Raja Muda Musa 1, dua blok tambahan merangkumi 20 bilik yang boleh dihuni sehingga 100 buruh binaan Bangladesh, dibina bersebelahan kedai runcit, yang turut dijalankan warga negara itu.

Binaan haram seumpamanya turut dikesan di Jalan Haji Yahya Sheikh Ahmad dan sekitar Jalan Raja Mahadi, yang dihuni puluhan warga Indonesia, dipercayai termasuk mereka yang datang ke negara ini secara tidak sah.

Ubah suai rumah sewa

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan (Sub Zon 3 Kampung Baru), Fikri Ya’acob, berkata isu penempatan membabitkan warga asing amat serius dan sudah berlanjutan sejak sekurang-kurangnya 10 tahun lalu.

FIKRI Ya’acob
FIKRI Ya’acob

Katanya, antara kawasan yang sudah dikuasai warga asing ialah Kampung Atas A, Kampung Atas B serta Kampung Periuk.

“Ada rumah sewa yang hanya memiliki tiga bilik, tetapi mereka tambah hingga jadi 10 bilik. Tak mustahil ada 20 penghuni di dalamnya dan ini dibina tanpa pengetahuan tuan rumah yang lebih memikirkan mengenai bayaran sewa rumah.

“Apabila warga asing membina bilik dan rumah tambahan, mereka memasang pendawaian elektrik sendiri yang boleh mengakibatkan kebakaran, seperti berlaku di Lorong Raja Muda Musa Enam pada 2017, membabitkan 15 rumah disewa kepada pekerja asing.

“Warga asing turut menguasai perniagaan di Kampung Baru, terutama kedai makan dan runcit yang umum tahu dikuasai warga Indonesia. Namun, ketika rondaan baru-baru ini, saya dapati ada empat kedai runcit yang dijalankan warga Bangladesh.

“Bila ditanya, mereka kata hanya pekerja. Tetapi apabila disiasat lebih lanjut, mereka sebenarnya menumpang lesen atas nama penduduk tempatan,” katanya yang sudah melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Sanggup bayar sewa tinggi

Fikri berkata, isu perniagaan dan pembinaan penempatan haram oleh warga asing di Kampung Baru hanya dapat diatasi menerusi operasi pemutihan bersepadu antara Jabatan Imigresen, polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) secara berkala.

WARGA asing yang menjalankan perniagaan dengan menyewa lot kedai di Kampung Baru. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
WARGA asing yang menjalankan perniagaan dengan menyewa lot kedai di Kampung Baru. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Sementara itu, penduduk tempatan yang juga peniaga restoran, Bakri Mukisan, 65, berkata perniagaan warga asing berada hampir serata ceruk Kampung Baru, dan kebanyakannya tidak memiliki lesen.

“Kebanyakan yang berniaga adalah yang datang secara haram dan bila ada operasi pihak berkuasa, ada ‘hantu’ akan maklumkan dan mereka sempat lari sebelum ditangkap.

“Mereka juga sanggup membayar sewa tinggi daripada penduduk kampung. Ada orang Indonesia dan Thailand mahu sewa tapak restoran saya dengan bayaran RM6,000 sebulan, tapi saya tolak,” katanya.

Pesara swasta, Zaini Jumari, 58, berkata selain premis makanan, warga Indonesia turut menguasai perniagaan gunting rambut di Kampung Baru, manakala warga Bangladesh mula membuka kedai runcit.

“Disebabkan jumlah semakin ramai, mereka juga tidak lagi menghormati penduduk asal Kampung Baru. Yang pelik, mereka boleh dapat lesen berniaga,” katanya.

Seorang lagi pesara swasta, Hashim Sadi, 59, berkata warga asing juga berani melanggar undang-undang apabila membuka khemah untuk berniaga di atas laluan pejalan kaki dan atas jalan raya.

“Ada tempat di Kampung Baru yang sudah berada dalam ‘kawalan’ mereka.

Berita Harian X