Selasa, 21 Mei 2019 | 3:26pm
Mohd Zafran menawarkan perkhidmatan trak tunda percuma dari Sungai Sam, Kuala Krai sehingga ke Kota Bharu.

Trak tunda percuma tiga hari ketika perayaan Aidilfitri

KOTA BHARU: Sebuah syarikat perkhidmatan trak tunda kenderaan menawarkan perkhidmatan percuma kepada pengguna jalan raya yang mengalami kerosakan kenderaan pada musim perayaan awal bulan depan.

Inisiatif pemilik ZeckZoro Enterprise, Mohd Zafran Yasoa itu kerana mengenangkan kesusahan yang sering dialami perantau apabila berlaku kerosakan kenderaan ketika dalam perjalanan.

Perkhidmatan itu bermula dari Sungai Sam, Kuala Krai sehingga Kota Bharu dari 3 Jun hingga 5 Jun.

Mohd Zafran, 38, yang tinggal di Sungai Durian, Kuala Krai, berkata idea itu tercetus selepas melihat kesusahan perantau dari Lembah Klang dan negeri lain yang pulang ke Kelantan untuk menyambut Aidilfitri yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

Katanya, jika kenderaan mengalami kerosakan pada musim perayaan, harga perkhidmatan trak tunda yang ditawarkan akan naik mendadak sekitar RM500 berbanding hari biasa RM300.

“Saya mahu memberi khidmat percuma kepada orang ramai bagi meringankan beban mereka.

“Walaupun boleh mengaut keuntungan pada musim perayaan, saya mahu berbakti kepada masyarakat. Hanya cara ini yang saya mampu lakukan untuk membantu orang ramai dengan menggunakan dua trak tunda,” katanya kepada BH.

Bapa kepada lima anak itu berkata, ideanya itu turut disokong isteri, Norfadiana Othman, 35, supaya seramai mungkin mendapat bantuan itu.

“Tahun lalu, sebanyak 26 kenderaan yang mendapat perkhidmatan trak tunda percuma dan saya anggarkan tahun ini lebih ramai yang saya dapat bantu. Perkhidmatan ini dapat dilaksanakan dengan bantuan beberapa pekerja yang turut gembira dapat membantu orang ramai,” katanya.

Sesiapa yang memerlukan perkhidmatan menghubungi talian 013-4885886 atau pejabat 09-9665886.

Berita Harian X