Selasa, 21 Mei 2019 | 5:08pm
MENTERI Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob. - Foto Syamsi Suhaimi.

Saman terhadap Kerajaan Persekutuan belum selesai

KOTA BHARU: Penarikan saman Kerajaan Kelantan terhadap Kerajaan Persekutuan berhubung tuntutan royalti belum selesai dan perbincangan masih dijalankan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata perbincangan dijalankan di peringkat Peguam Negara.

“Sehingga kini, ada beberapa lagi perbincangan dengan Kerajaan Pusat. Maknanya masih belum selesai.

“Kita dimaklumkan oleh Penasihat Undang-Undang Negeri, kita perlu tunggu perbincangan pegawai di peringkat Peguam Negara,” katanya ketika ditemui selesai Mesyuarat Exco, di sini, hari ini.

Pada masa sama katanya, saman Kerajaan Kelantan terhadap Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) berhubung pembayaran, dijangka selesai sepenuhnya pada 12 Jun ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, pada 7 Mac lalu, Kerajaan Persekutuan akan membayar royalti minyak kepada kerajaan negeri selepas ia menarik balik tuntutan saman terbabit.

Pada 30 Ogos 2010, kerajaan negeri memfailkan saman dengan menamakan PETRONAS sebagai defendan kerana mendakwa syarikat minyak itu melanggar kontrak pembayaran royalti kepada plaintif (Kelantan) berhubung pendapatan minyak.

Kerajaan negeri menuntut PETRONAS membayar tunggakan dan pembayaran tunai masa depan bagi petroleum yang dikeluarkan di pesisir negeri itu seperti yang ditetapkan dalam perjanjian cari gali petroleum.

Pada Oktober tahun lalu, Ahmad dilaporkan berkata, kerajaan negeri menarik balik saman itu kerana keyakinan terhadap ketetapan dinyatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengagihkan royalti kepada kerajaan negeri.

Berita Harian X