Rabu, 22 Mei 2019 | 3:18pm
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berucap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri, Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Kerajaan, rakyat Negeri Sembilan rafak sembah takziah

SEREMBAN: Kerajaan negeri dan rakyat Negeri Sembilan merafak sembah ucapan takziah kepada seluruh kerabat diraja Pahang atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, pagi ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata kemangkatan Almarhum adalah kehilangan besar bukan hanya kepada negeri Pahang tetapi bagi seluruh rakyat Malaysia.

“Almarhum Sultan Haji Ahmad banyak berjasa serta memainkan peranan besar dalam pelbagai lembaran sejarah negara sepanjang tempoh pemerintahannya sebagai Sultan Pahang dan juga selaku Yang di-Pertuan Agong ketujuh.

“Kita semua kehilangan seorang Raja yang berjiwa rakyat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri dan seluruh rakyat Negeri Sembilan mendoakan semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para aulia, syuhada serta orang beriman.

Hari ini, BH melaporkan Sultan Ahmad Shah diumumkan mangkat di Insitut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada jam 8.50 pagi tadi.

Berita Harian X