Rabu, 22 Mei 2019 | 9:16pm
MOHAMED Azmin bersalaman bersama para hadirin di Surau Jabal Nur Sri Gombak. - Foto BERNAMA

Tiada duit raya peneroka FELDA setakat ini - Azmin

GOMBAK: Kerajaan setakat ini tiada keputusan berhubung pemberian ‘duit raya’ kepada 112,635 peneroka FELDA di seluruh negara, susulan keadaan kewangan negara yang dibebani pelbagai hutang.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebaliknya berkata keutamaan kerajaan kini ialah untuk memastikan pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil dibayar kepada peneroka sebelum Aidilfitri.

Beliau menjelaskan, kerajaan tidak berupaya memberikan sebarang janji dalam mengumumkan ‘duit raya’ kepada peneroka seperti amalan yang dilaksanakan sejak 2011, bagi memastikan setiap perbelanjaan menepati matlamat jangka panjang dan lestari.


MOHAMED Azmin (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf pada Majlis Iftar Perdana dan Penyerahan Sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Surau Jabal Nur Sri Gombak. - Foto BERNAMA

“Saya tidak mahu berikan sebarang janji (beri duit raya kepada peneroka FELDA) kerana untuk dapatkan RM6.23 bilion pun perkara yang amat besar bagi kerajaan susulan kedudukan kewangan negara.

“Selain itu, kita enggan peruntukkan perbelanjaan yang tidak dapat beri manfaat kepada peneroka,” katanya kepada pemberita selepas Iftar Perdana dan Penyerahan Sumbangan Aidilfitri kepada 500 penerima daripada golongan miskin di Gombak Setia di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham; Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI Selangor), Soffan Affendi Aminudin dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Datuk Juhari Ahmad.

Meyakini peserta tanah rancangan FELDA memahami kedudukan kewangan kerajaan, Mohamed Azmin berkata keutamaan ketika ini ialah bagi membela kebajikan dan nasib peneroka untuk jangka panjang.

“Menerusi pertemuan dengan peneroka di Jempol, sambutan sangat positif kerana yakin kerajaan komited untuk bantu mereka, khususnya dalam menyelesaikan isu pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil,” katanya.

Mengulas catatan terbaru wartawan veteran merangkap Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin, supaya menteri Kabinet, Menteri Besar dan EXCO yang masih kurang menonjol mengundurkan diri secara sukarela, Mohamed Azmin berkata persoalan sedemikian tidak timbul.

Timbalan Presiden PKR itu sebaliknya menegaskan, kata putus sama ada kepemimpinan kerajaan ketika ini gagal atau berjaya menggalas tugas terletak di tangan rakyat yang memberikan mandat kepada kerajaan baharu, pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Yang tentukan menteri atau Menteri Besar berjaya atau tidak ialah rakyat, bukan individu seperti yang dinyatakan kerana PM (Perdana Menteri) sendiri nyatakan beliau tidak berhasrat untuk lakukan rombakan.

“Ini kerana PM menghargai Jemaah Menteri hari ini, yang sebahagian besar adalah muka baharu tapi dalam tempoh sebegini singkat mereka amat komited laksanakan tugas dengan baik.

“Beri peluang. Paling penting pasukan Tun Dr Mahathir (Mohamad) ialah muda, bertenaga, integriti, kerja kuat dan ingin bina semula ekonomi.

“Soal diterima atau tidak, serahkan kepada rakyat, tapi saya yakin rakyat sudah lihat kesan positif,” katanya.

2634 dibaca
Berita Harian X