Khamis, 23 Mei 2019 | 11:00am

Almarhum Sultan Ahmad Shah cukup disayangi, dikasihi rakyat

PEKAN: Ribuan masyarakat terdiri daripada pelbagai kaum menziarah dan memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Mustain Billah di Istana Abu Bakar, di sini.

Mereka tiba seawal jam 6 pagi untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Sultan Pahang Ke-5 yang mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 8.50 pagi semalam.

Suasana sayu menyelubungi Balairung Seri Istana Abu Bakar yang menempatkan jenazah baginda, dengan kesedihan rakyat terhadap pemergian pemerintah kesayangan mereka itu cukup dirasakan.

Orang ramai diberi peluang menziarah dan memberikan penghormatan terakhir kepada Sultan Ahmad Shah mulai jam 10 malam tadi sehingga 11 pagi ini.

Selepas jam 11 pagi, orang kenamaan terdiri daripada Raja-Raja Melayu dan kerabat diraja akan memberikan penghormatan.

Jenazah seterusnya dijangka disembahyangkan di Balairung Seri Istana Abu Bakar sebelum jenazahnya dinaikkan di pedati untuk ditarik sejauh 2.2 kilometer (km) ke Makam Diraja Pekan untuk dimakamkan selepas solat Zohor.

Sebanyak 88 das tembakan akan dilepaskan di perkarangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam MelayuPahang (MUIP) di sini oleh Pasukan 41 Rejimen Artileri DiRaja (RAD), Sungai Buloh, Selangor.

Tembakan meriam itu akan bermula sejurus jenazah diletakkan di atas pedati dan akan dilepaskan setiap 23 meter pergerakan pedati yang bermula dari Istana Sultan Abu Bakar hingga ke Makam Diraja Pekan, Pahang.

Jumlah 88 das tembakan itu adalah simbolik kepada usia baginda iaitu 88 tahun.

1204 dibaca
PELAJAR tahfiz membaca al-Quran di hadapan jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Mustain Billah di Istana Abu Bakar. - Foto Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X