Khamis, 23 Mei 2019 | 12:12pm
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ditenangkan ketika menziarahi jenazah Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah di Istana Abu Bakar, hari ini. - Foto BERNAMA

Hiba, tangisan selubungi Istana Abu Bakar

PEKAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berangkat tiba di Istana Abu Bakar, pada jam 10.40 pagi tadi bagi menghadiri istiadat pemakaman Paduka Ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar.

Sebaik berangkat tiba dari London, baginda dilihat bergegas menyusun langkah menuju ke ruang balairung seri istana, bagi memberikan penghormatan terakhir dan menziarahi Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Diiringi alunan bacaan ayat suci al-Quran, kelibat baginda di Balairung Seri sekali gus mengundang suasana hiba sehingga jelas kedengaran esakan dalam kalangan hadirin yang memenuhi segenap penjuru ruang serba kuning berkenaan.

Baginda kemudian ditemani kerabat diraja, menunaikan solat jenazah yang diimamkan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

Tatkala bacaan al-Fatihah dan doa dibacakan Abdul Rahman, Al-Sultan Abdullah yang mengenakan persalinan baju Melayu serba putih dan bersongkok hitam dengan lilitan putih, dilihat sesekali menyeka air mata.


Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menunaikan solat jenazah Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah di Istana Abu Bakar, hari ini. Turut berangkat Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah. - BERNAMA

Suasana pilu terus menyelubungi Balairung Seri Istana Abu Bakar apabila baginda berpelukan dengan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, selain dilihat membisikkan sesuatu kepada kerabat diraja yang berangkat memberikan penghormatan terakhir.

Sementara menanti sesi penghormatan terakhir, Yang di-Pertuan Agong kemudian mengambil tempat di kerusi depan singgahsana untuk membacakan surah Yassin.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, Raja-Raja Melayu yang berangkat tiba bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah adalah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar; Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra.

Keranda Almarhum Sultan Ahmad Shah dijangka diarak ke Makam Diraja Pekan, yang terletak kira-kira 2.2 kilometer dari Istana Abu Bakar, pada jam 1 tengah hari ini.

5629 dibaca
Berita Harian X