Khamis, 23 Mei 2019 | 1:18pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengaminkan doa selepas menunaikan solat jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Balairung Seri Istana Abu Bakar, Pekan. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Hilangnya pembela anak seni

PEKAN: Kemangkatan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah meninggalkan kesan cukup mendalam kepada anak seni yang menyifatkan baginda sebagai seorang raja prihatin kepada nasib penggiat industri seni.

Pelakon, Datuk Seri Shah Rezza, berkata almarhum seorang raja yang sangat prihatin dan menjaga kebajikan artis serta sering menghulurkan sumbangan apabila mendengar ada dalam kalangan artis yang sakit.

“Saya sangat bersyukur kerana diberikan kesempatan melawat baginda di Institut Jantung Negara (IJN) sebelum mendapat perkhabaran kemangkatan tuanku.

“Saya sempat membacakan al-Quran di sisi baginda dari jam 11 malam kelmarin (Selasa) sehingga pagi semalam. Namun, kira-kira 20 minit selepas balik ke rumah, saya dimaklumkan baginda sudah tiada.

“Tuanku seorang raja yang sangat prihatin dengan nasib anak seni dan pernah menghulurkan sumbangan kepada Allahyarham Azean Irdawaty dan M Rajoli ketika mereka sakit, malah baginda sangat pemurah tatkala mendengar ada artis yang sakit,” katanya ketika hadir memberikan penghormatan terakhir ke atas jenazah Almarhum di Balairung Seri Istana Abu Bakar, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hubungan Almarhum Sultan Ahmad Shah dengan industri seni sangat rapat dan berharap hubungan istana Pahang dengan penggiat seni dapat diteruskan.

Sementara itu, Datuk Aaron Aziz turut menyifatkan keperibadian Almarhum sangat dekat dengan golongan seni dan tidak pernah mengetepikan mana-mana artis walaupun bukan anak kelahiran Pahang.

“Saya sangat terkejut dengan perkhabaran ini dan sepatutnya pulang ke Singapura pagi tadi, tetapi mengenangkan jasa baginda kepada industri seni, saya datang ke sini untuk memberikan penghormatan terakhir.

“Baginda seorang yang sangat merendah diri dan membuatkan kita seperti anak sendiri. Saya seorang yang bertuah dapat mengenali baginda kerana bukan semua orang dapat rapat dengan Almarhum,” katanya.

Selain Shah Rezza dan Aaron, artis lain turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah termasuk Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Nasser Wahab.

1036 dibaca
Berita Harian X