Khamis, 23 Mei 2019 | 1:45pm
LEFTENAN Kolonel Nazatul Rina Lasim. - Foto Farizul Hafiz Awang

`Terima Kasih Tuanku'

PEKAN: “Cukup berbangga dapat berkhidmat untuk Tuanku sehingga akhir hayat baginda, malah ia pengalaman paling berharga dalam hidup saya,” kata juruiring Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Mustain Billah, Leftenan Kolonel Nazatul Rina Lasim.

Bagi pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berusia 38 tahun itu, beliau sama sekali tidak akan melupakan pengalaman bertugas dengan Sultan Ahmad Shah selama 10 tahun yang berakhir sejurus kemangkatan baginda di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 8.50 pagi semalam.

“Tuanku baik, peramah dan sentiasa prihatin dengan nasib kakitangannya, terutama membabitkan hal-hal kebajikan.

“Saya masih ingat Tuanku membenarkan saya untuk menjaga arwah ayah (Lasim Abd Manan) di hospital selama dua bulan walaupun tugas saya perlu untuk mengiringinya pada setiap masa apabila diminta,” katanya ketika ditemui BH di Istana Abu Bakar, di sini hari ini.

Nazatul Rina berkata, antara pengajaran dipelajarinya sepanjang bertugas dengan Sultan Ahmad Shah adalah pentingnya untuk menjaga kebajikan insan lain yang sering menjadi keutamaan baginda.

“Dari dahulu Tuanku memang dikenali sebagai pemimpin sentiasa dekat dengan rakyat, kalau boleh Tuanku mahu menjadi orang pertama mengetahui sebarang bencana atau kejadian menimpa rakyatnya.

“Tuanku akan terus berangkat ke lokasi kejadian sekiranya tiada aral melintang, saya selalu mengikutinya dan saya mengambilnya sebagai proses pembelajaran dalam kehidupan,” katanya.

Mengenai perancangannya selepas ini, Nazatul Rina berkata, beliau akan kembali bertugas di TUDM yang dianggotainya sejak 20 tahun lalu.

“Saya akan kembali kepada TUDM, hari ini saya mahu membantu melancarkan proses pemakaman tuanku supaya semuanya berjalan sempurna,” katanya.

Pelantikan Nazatul Rina sebagai ADC kepada raja atau pemerintah mencipta sejarah kerana beliau dipercayai satu-satunya wanita di negara ini yang dilantik ke jawatan itu.

Berita Harian X