Jumaat, 24 Mei 2019 | 11:04am
BEKAS pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin. - Foto Mohd Yusni Ariffin
BUAH guarana. - Foto BERNAMA

Tanaman guarana perlu diteruskan bantu pekebun kecil - Zahidi

KANGAR: Guarana sebagai tanaman alternatif bagi menggantikan pokok getah perlu diteruskan untuk membantu pekebun kecil getah berikutan harga getah semakin jatuh.

Bekas pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata kerajaan pusat harus memberi segala bantuan kepada pekebun yang berminat menanam guarana dan tidak harus menyekat usaha mereka.

“Semasa saya menjadi pengerusi RISDA kita ke Brazil, tengok dan belajar cara serta kaedah penanaman guarana dan setelah setahun baru dijalankan tanaman percubaan.

“Justeru, kerajaan sepatutnya hantar penyelidik ke Brazil untuk belajar lebih mendalam mengenai tanaman ini,” katanya di sini, malam tadi.

Tanaman itu tidak mempunyai penyakit yang sukar untuk dikawal dan menanamnya secara komersial cuma pengusaha perlu diajar cara untuk mengawal serta pembajaan yang betul untuk mendapatkan hasil terbaik.

“Guarana sesuai menjadi tanaman sampingan yang saya yakin dapat menambah pendapatan pekebun kecil,” kata Zahidi sambil menambah bahawa selain buah guarana mencecah RM40 satu kilogram, daunnya juga boleh digunakan untuk membuat kosmetik.

ANAK pokok guarana. - Foto Sharul Hafiz Zam

Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar berkata, permintaan terhadap guarana adalah tinggi.

Mengenai laporan akhbar bahawa ratusan petani menjadi mangsa penipuan individu bergelar Datuk yang membuat tawaran supaya melabur dalam projek tanaman guarana, beliau berkata isu itu tidak membabitkan RISDA.

Beliau berkata, mengusahakan tanaman guarana tidak harus diserahkan kepada syarikat swasta kerana untuk membawa masuk benih guarana perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Beliau menambah syarikat yang menjanjikan pulangan lumayan kira-kira RM150 sekilogram termasuk membeli balik guarana mungkin dilakukan oleh ejen yang mengambil kesempatan berikutan permintaan terhadap tanaman itu semakin meningkat.

Mengenai cadangan kerajaan Pakatan Harapan untuk melaksanakan tanaman ganja dan ketum, beliau berkata, ia perlu dilihat dari sudut positif kerana kedua-dua tanaman itu boleh memberi pulangan yang tinggi.

Walaupun ganja diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ketum di bawah Akta Racun 1952, penyelidik luar dan dalam negara sudah mengesahkan ketum tidak berbahaya. – BERNAMA

Berita Harian X