Jumaat, 24 Mei 2019 | 3:38pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Dua juta kenderaan dijangka penuhi lebuh raya PLUS

SUBANG: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan aliran trafik di Lebuh Raya Utara Selatan menjelang Aidilfitri ini akan ‘dibanjiri’ dua juta kenderaan berbanding 1.7 juta pada hari biasa.

Jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 18 peratus.

Sehubungan itu, PLUS merangka beberapa strategi dalam usaha menghadapi pertambahan trafik selain meningkat tahap keselamatan dan keselesaan pengguna di lebuh raya kendaliannya,

Pertama, PLUS mengesyorkan kepada pengguna lebuh raya kendaliannya untuk mengikut Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi membantu mereka merancang perjalanan balik kampung termasuk balik ke kota selepas beraya.

Bagi perjalanan balik kampung, PLUS mencadangkan agar pengguna pulang sebelum jam 10 pagi antara tempoh 30 Mei hingga 10 Jun khususnya bagi yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Utara Perak dan Johor.

Bagi mereka yang menghala ke negeri berdekatan Lembah Klang seperti Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor dinasihatkan untuk menggunakan lebuh raya selepas jam 10 pagi.

Jadual seperti ini direka untuk mengagihkan trafik di lebuh raya sekali gus dapat mengurangkan kesesakan dan risiko kemalangan.

Kedua, PLUS bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari segi penguatkuasaan di lebuh raya antaranya dengan menyediakan mesin timbang mudah alih untuk mengesan kenderaan lebih muatan.

Ketiga, pemantapan pengoperasian oleh PLUS ditingkatkan dengan menyediakan sebanyak 5,000 kakitangan untuk melancarkan eko-sistem di lebuh raya.

Keempat, PLUS buat julung kali memperkenalkan penggunaan dron untuk membuat pemantauan trafik di lokasi ‘panas’ di sepanjang Lebuh Raya Utar Selatan sekali gus tindakan selanjutnya dapat diambil JPJ sekiranya terdapat pengguna lebuh raya yang membelakangkan undang-undang jalan raya.

Kelima, kerja menaiktaraf di sepanjang Lebuh Raya Utara Selamat juga dihentikan oleh PLUS bermula 31 Mei hingga 10 Jun depan.

Lima pendekatan strategik itu adalah antara yang disyor dan dirancang oleh PLUS dalam sidang media mengenai persediaan PLUS menghadapi pertambahan trafik dan pelancaran kempen Aidilfitri di ibu pejabatnya pagi tadi.

Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, berdasarkan statistik pada tahun lalu, lebih 60 peratus kemalangan maut membabitkan pembonceng motosikal.

Katanya, dianggarkan lebih 70 peratus kemalangan berlaku di lorong kecemasan kerana banyak kenderaan seperti lori selalu berhenti di laluan itu.

“Pada tahun lalu ketika Ops Selamat 2018 dijalankan, sebanyak , 543 kemalangan direkodkan. Tujuh kematian direkodkan ketika operasi.

“Justeru, kita nasihat kepada pengguna lebuh raya supaya rancang perjalanan dan dapatkan maklumat lanjut menerusi aplikasi PLUS.

“Untuk pembonceng motosikal, kita nasihat mereka supaya mematuhi tiga perkara. Pertama, mengenakan pakaian pantul cahaya. Kedua, rancang perjalanan pada waktu siang dan ketiga, berhati-hati melalui lorong kecemasan,” katanya.

Turur hadir Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail dan Ketua Pegawai Komersil PLUS, Christine Liew.

Berita Harian X