Jumaat, 24 Mei 2019 | 8:30pm
Mukhriz (kanan) mengakui kesilapannya apabila tidak bersalaman dengan Sultan Ibrahim Iskandar, di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, semalam. - Foto NSTP

Harap baginda terima permohonan maaf - Mukhriz

LANGKAWI: Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, mengakui kesilapannya apabila tidak bersalaman dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, semalam.

Mukhriz berkata beliau sudah mengutuskan surat kepada baginda hari ini bagi memohon maaf atas kekhilafannya itu.

Katanya, ketika itu beliau mengiringi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah.

“Waktu itu, Sultan Kedah sudah ke hadapan dan bacaan doa akan dimulakan, saya nak cepat dan nampak Yang Dipertua Agong dan terus saya bersalaman serta mengucapkan takziah.

“Saya kemudian terus berjalan...biasalah kita orang Kedah kadang-kadang kalut, saya harap baginda (Sultan Johor) dapat menerima permohonan maaf saya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Kebajikan Perdana Menteri di Masjid Nurus Salam, Kampung Ewa, di sini, hari ini.

Mukhriz berkata, beliau bagaimanapun tidak akan memberi alasan tidak sengaja, sebaliknya mengakui kesilapan atas kekhilafannya tidak bersalam itu.

Terdahulu, satu rakaman video selama 14 saat viral di media sosial menunjukkan Mukhriz hanya mengangkat sembah, namun tidak bersalaman dengan Sultan Ibrahim yang sedang berdiri sebaris bersama barisan Sultan dan kerabat lain.

Video itu dirakamkan semasa pemimpin dan kenamaan hadir menziarahi serta memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah, di Istana Abu Bakar.

Rakaman video terbabit turut dikongsikan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menerusi laman Twitternya pagi tadi.

Sultan Ahmad Shah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 8.50 pagi kelmarin.

3074 dibaca
Berita Harian X