Ahad, 26 Mei 2019 | 4:18pm
Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin ditemui ketika lawatan kerja beliau ke Kelantan di Pasaraya Koperasi Keluarga Haji Zabir (KOZA) di Jalan Kweng Hitam, Machang. - Foto Syamsi Suhaimi

Piagam PAS-UMNO bukan perkara luar biasa

MACHANG: Piagam yang bakal dimeterai antara PAS-UMNO selepas Aidilfitri ini bukan perkara luar biasa kerana parti itu pernah bergabung, kata bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

“Piagam itu bukan perkara luar biasa... Dulu pun PAS dan UMNO pernah bergabung. Apa yang penting rakyat mesti bersatu padu dan membina semula negara.

“Saya bukannya ahli nujum yang boleh meramalkan piagam berkenaan mampu memberi kesan atau tidak kepada kerajaan.

“Berjaya atau tidak kerjasama itu bergantung kepada kekuatan mereka,” katanya pada sidang media selepas melawat Koperasi Keluarga Haji Zabir Kelantan Berhad (KOZA) di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata kerjasama UMNO dan PAS akan diperkukuhkan lagi secara rasmi sebaik kedua-dua parti itu memeterai satu piagam bersama selepas Aidilfitri.

Berita Harian X