Isnin, 27 Mei 2019 | 2:01pm
ZULKIFLI Abdullah (kiri) berbual dengan sebahagian komuniti parlimen Pengkalan Chepa selepas majlis dialog di Mess Pasukan Gerakan Am (PGA), Pengkalan Chepa. - Foto Fathil Asri

AADK sasar 65 peratus terbabit dadah pulih

KOTA BHARU: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyasarkan 65 peratus daripada 63,000 orang kena pengawasan (OKP) seluruh negara mampu pulih sepenuhnya tahun ini.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah, berkata peratusan itu dijangka meningkat 10 peratus berbanding tahun lalu dengan 55 peratus mampu pulih sepenuhnya, manakala selebihnya berulang.

“Pada peringkat antarabangsa, negara kita berada pada julat lebih kurang sama iaitu antara 45 hingga 60 peratus dan kita mengharapkan bilangan OKP pulih hasil rawatan pemulihan dapat terus ditingkatkan.

“Walaupun usaha rawatan dimantapkan, tetapi pencegahan lebih penting dan kita akan memfokuskan sudut pencegahan peringkat awal bagi mengelak golongan muda mengenali dadah,” katanya sebagai ahli panel pada sesi dialog bersama komuniti Parlimen Pengkalan Chepa di Dewan Mess Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini, hari ini.

Turut hadir dan menjadi panel pada sesi dialog itu adalah wakil Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Superintendan Roslan [email protected], Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Fathan Mahmood dan Imam Masjid Al-Salam, Osman Zin.

Zulkifli berkata, institusi kekeluargaan yang baik adalah asas utama pencegahan dan bimbingan ibu bapa, selain pihaknya juga turun padang berjumpa keluarga berisiko tinggi terbabit penyalahgunaan dadah.

Katanya, keluarga berisiko tinggi yang dimaksudkan adalah mereka yang mempunyai OKP dalam kalangan ahli keluarga dan terdapat anak disyaki terbabit dadah.

Sehubungan itu, beliau menyeru lebih banyak pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) tampil bekerjasama menangani permasalahan dadah yang dianggap musuh nombor satu negara.

“Memandangkan Kelantan antara negeri paling tinggi mencatat bilangan penagih dadah, menerusi perbincangan bersama kerajaan negeri, satu inisiatif diambil iaitu mewujudkan projek rintis bagi menangani masalah dadah dan pelencongan sosial di Pengkalan Chepa.

“Ia dimulakan di Pengkalan Chepa kerana parlimen itu kawasan merah dan projek rintis sesuai dilakukan di situ disebabkan ia dekat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan AADK.

“Projek itu akan dimulakan dalam masa terdekat dengan pembabitan beberapa agensi termasuk PDRM, AADK, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Belia dan Sukan, penghulu, penggawa dan pihak lain yang berkaitan,” katanya.

Berita Harian X