Isnin, 27 Mei 2019 | 3:24pm
- Foto hiasan

9 penguat kuasa JPJ lindungi syarikat lori didakwa esok

GEORGETOWN: Sembilan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri dijangka dihadapkan ke mahkamah esok atas 162 pertuduhan kerana didakwa menerima rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

“Semua penguat kuasa JPJ Pulau Pinang berjawatan Gred 19 hingga Gred 22 terbabit akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Butterworth.

“Mereka akan dituduh dengan 162 pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009,” katanya hari ini.

Sebelum ini, beberapa saksi yang juga adik-beradik dan bekerja di syarikat logistik di Pulau Pinang berjaya dikesan SPRM, bagi siasatan kes penguat kuasa JPJ Pulau Pinang yang didakwa menerima rasuah bagi melindungi pemandu lori.

Pada 23 April lalu, dua daripada 21 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang bagi kumpulan ketiga yang diarah menghadiri sesi rakaman percakapan di Pejabat SPRM negeri di sini, diberi pengecualian daripada menjalani sesi berkenaan.

Salah seorang suspek dikecualikan berikutan mengalami kecederaan akibat kemalangan, manakala seorang lagi kini ditahan di penjara di Indonesia.

Sehingga kini, seramai 79 individu, termasuk lapan orang awan yang berperanan sebagai proksi, tonto dan pemilik syarikat sudah menjalani sesi rakaman percakapan bagi membantu siasatan kes terbabit.

Difahamkan, sekurang-kurang 75 anggota penguat kuasa dan pegawai JPJ disyaki menerima rasuah daripada pemilik syarikat lori dengan tangkapan dijangka dibuat dalam operasi seterusnya.

Setiap anggota JPJ terbabit dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 hingga RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan untuk melindungi pemandu lori lebih muatan dengan tidak mengambil tindakan.

Mereka turut didakwa membocorkan maklumat operasi yang akan dan sedang dijalankan JPJ, selain kumpulan lori berkenaan dilindungi menggunakan pelekat khas dikatakan hanya dikenali serta difahami penguat kuasa terbabit.

408 dibaca
Berita Harian X