Isnin, 27 Mei 2019 | 8:29pm
Antara laporan dalam BH Online.

PERHILITAN diarah teliti tindakan remaja tembak monyet

KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) diarah meneliti pendakwaan yang boleh dikenakan terhadap individu menembak mati seekor monyet dalam kurungan di Sitiawan, Perak, baru-baru ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, berkata tindakan itu sebagai tambahan kepada penyiasatan polis yang sebelum ini menahan suspek berusia 18 tahun dan bapanya.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan suspek boleh didakwa mengikut Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang memperuntukkan pembunuhan haiwan dengan cara menembak sebagai satu kesalahan.

“Siasatan berhubung insiden itu oleh polis sudah selesai dan sudah diserahkan kepada Peguam Negara. Jadi, kita tunggu maklum balas Peguam Negara.

“Namun, saya juga sudah arahkan PERHILITAN meneliti perundangan bagi mengenal pasti pendakwaan boleh dikenakan terhadap suspek,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam kejadian antara jam 10 pagi hingga 11 pagi pada 18 Mei lalu, remaja berusia 18 tahun itu dirakam menembak monyet liar dengan satu das tembakan kerana haiwan itu enggan menyebut perkataan ‘baby sayang’, sebelum membuang sangkar dan bangkainya di sebuah sungai di Bota.

Polis kemudian menahan remaja itu dan bapanya berusia 54 tahun, yang membawa kepada rampasan sepucuk pistol warna hitam jenis Glock 42, sarung pistol, 12 peluru dan lesen pemilikan senjata api.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, sebelum ini dilaporkan berkata, remaja lelaki itu mengaku mengambil pistol bapanya yang sedang tidur dalam pondok di kebun pisang bapanya pada hari kejadian.

Seksyen 30(4) memperuntukkan jika sabit kesalahan membunuh dengan menembak haiwan, individu itu boleh didenda tidak lebih RM100,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Berita Harian X