Selasa, 28 Mei 2019 | 7:10am
KETUA Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
KETUA Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PENGERUSI Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac bersama Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Izham bergambar bersama pengamal media pada program Sinergi Industri Finas bersama Media di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Nadim Bokhari
PENGERUSI Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac bersama Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Izham bergambar bersama pengamal media pada program Sinergi Industri Finas bersama Media di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Nadim Bokhari

FINAS tentukan tidak semua filem boleh masuk panggung

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) akan memperkenalkan modul Skim Wajib Tayang yang baharu, selain menentukan satu garis panduan untuk industri filem tanah tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, modul yang bertujuan mengatasi isu filem tidak laku sedang dilihat di peringkat pegawai undang-undang.

“Isu filem tidak laku ini terjadi kerana kita tidak ada garis panduan filem yang macam mana boleh masuk panggung.

“Di Hollywood, tak semua filem boleh masuk panggung, tetapi di Malaysia, semua filem boleh masuk panggung.

“Kami ada satu modul wajib tayang baharu, yang kami akan umum dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Sinergi Industri Finas bersama Media di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, ditanya cabaran menerajui FINAS, Ahmad Idham yang memegang jawatan tersebut sejak 12 Mac lalu berkata penyelewengan kewangan adalah cabaran terbesar yang terpaksa dihadapinya.

“Bila masuk dalam FINAS, memang ada pelbagai masalah yang timbul. Saya tertanya-tanya, apa sudah jadi? Mana duit FINAS pergi? Kes dengan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) berlambak-lambak.

“Saya tak rasa boleh selesaikan semua masalah ini dalam waktu terdekat. Tetapi, saya yakin ia akan diselesaikan secara berperingkat,” katanya yang menyerahkan kepada SPRM dalam menyelesaikan isu membabitkan penyelewengan dalam FINAS.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo meminta SPRM mempercepatkan siasatan kes dana FINAS membabitkan RM25 juta. – BERNAMA

Berita Harian X