Selasa, 28 Mei 2019 | 4:54pm
KEADAAN terkini adik Ainul Mardhiah yang kini dirawat di sebuah hospital kanak-kanak di London masih mampu tersenyum di sebalik kesakitan dialaminya. - Ihsan FB Ahmad Safiuddin
KEADAAN terkini adik Ainul Mardhiah yang kini dirawat di sebuah hospital kanak-kanak di London masih mampu tersenyum di sebalik kesakitan dialaminya. - Ihsan FB Ahmad Safiuddin

Bapa kongsi video Ainul Mardhiah tersenyum

KUALA LUMPUR: Ainul Mardhiah, bayi perempuan penghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’ yang kini dirawat di sebuah hospital kanak-kanak di London masih mampu tersenyum di sebalik kesakitan dialaminya.

Menerusi perkongsian di Facebook, bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, memuat naik klip video berdurasi sembilan saat memaparkan Ainul Mardhiah tersenyum sebaik disapa kakitangan hospital berkenaan.

Menerusi video yang dimuat naik dengan status tertulis ‘khas untuk yang nak tengok Ainul’, kakitangan hospital berkenaan dilihat bertanya khabar kepada bayi terbabit ketika sedang melakukan pemeriksaan ke atasnya.

Ainul Mardhiah kemudian tersenyum sebaik dipegang kakitangan hospital itu sebelum kedengaran suara seorang lagi wanita dipercayai doktor turut bertanyakan keadaan bayi terbabit.

Status yang dikongsi Ahmad Razak itu mendapat lebih 3,000 tanda ‘likes’ dan 423 perkongsian setakat ini.

Beberapa pengguna Facebook turut memberi kata-kata semangat kepada Ainul Mardhiah dan kedua ibu bapanya pada perkongsian status berkenaan.

“Saya setiap hari tengok FB (Facebook) tuan sebab nak tahu perkembangan baby Ainul. Semoga dipermudahkan segala urusan Ainul di sana. Amin,” kata pemilik akaun Facebook dikenali Akmal KeMal.

“Alhamdulillah...cerdik betul dia ya...satu dunia sayangkan Ainul,” kata seorang lagi pemilik akaun Facebook dikenali Kak Amy Zuraidah.

BH hari ini melaporkan beberapa doktor pakar dijangka melawat dan membuat penilaian ke atas Ainul Mardhiah minggu ini.

Doktor dalam kalangan pakar onkologi pediatrik akan berbincang bagi mencari jalan terbaik merawat bayi itu.

Berita Harian X