Khamis, 30 Mei 2019 | 12:08pm
ZAKARIA Ahmad Zabidi

PLUS manfaat teknologi dron pantau kesesakan di lebuh raya

SUBANG: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) komited memanfaatkan perkembangan teknologi apabila buat pertama kali menggunakan dron bagi memantau kesesakan di Lebuh Raya Utara-Selatan ketika musim perayaan ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, berkata dron berteknologi tinggi dan memiliki kamera berdefinisi tinggi itu mampu merakam video dengan kualiti yang baik.

“Kita memiliki empat dron dilengkapi kamera berdefinisi tinggi yang mampu merakam dan memancarkan video terus ke paparan di Pusat Kawalan Trafik di Persada PLUS secara langsung.

“Dron ini akan digunakan di kawasan panas yang sering berlaku kesesakan. Buat masa ini kita mengenalpasti empat kawasan yang sering berlaku kesesakan iaitu Rawang, Slim River, Gua Tempurung dan Sungai Perak,” katanya.

Zakaria berkata, penggunaan dron itu antara pembaharuan yang sedang dilaksanakan PLUS dalam meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan syarikat terbabit kepada pengguna lebuh raya.

“Jika sebelum ini, kita menggunakan perkhidmatan helikopter untuk memantau keadaan trafik, ini kali pertama PLUS menggunapakai teknologi dron.

“PLUS bagaimanapun tetap bekerjasama dengan pihak berkuasa kerana pengendalian dron memerlukan kebenaran daripada pihak berwajib,” katanya.

Katanya, selain dron, PLUS juga bercadang meneroka teknologi baharu lain yang menambah baik perkhidmatan sedia ada.

“Kita sedang melihat penggunaan lampu isyarat lorong kecemasan yang diguna di negara maju untuk menyuraikan kesesakan serta beberapa cadangan lain yang boleh membantu melancarkan operasi di lebuh raya,” katanya.

Dalam pada itu, Zakaria menasihatkan pengguna lebih raya supaya memuat turun aplikasi PLUS yang sudah ditambah baik dengan kemudahan paparan video secara langsung aliran trafik di lebuh raya berkenaan.

“Mereka boleh muat turun di telefon pintar masing-masing. Paparan video secara langsung akan membolehkan pengguna melihat apa yang berlaku jika ada kesesakan,” katanya.

253 dibaca
Berita Harian X