Khamis, 30 Mei 2019 | 3:06pm
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan mencemar duli hadir dan membaca al-Quran bersama peserta dalam program World #QuranHour di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Gombak. - Oleh Nurul Syazana Rose Razman

World #QuranHour angkat tema penyelesaian cabaran sejagat

GOMBAK: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli berangkat ke program World #QuranHour di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini.

Baginda bersama lebih 3,000 orang menyertai kempen berinteraksi dengan al-Quran, sebagai tanda sokongan membentuk solidariti ummah di seluruh dunia membaca Al-Quran selama sejam, sekali gus mengisi 10 hari terakhir Ramadan.

Ketibaan baginda disambut Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub.

Sultan Nazrin yang mengenakan baju Melayu hijau zamrud turut menyertai solat Zohor berjemaah.

Baginda turut berkenan, menyertai sesi bergambar bersama tetamu kehormat penganjur program di Galeri UIAM.

World #QuranHour kali ini mengangkat tema Solusi Cabaran Sejagat dengan mengajak masyarakat memahami empat cabaran dunia akhir zaman dan solusi daripada surah al-Kahf.

Antara lain ia memperjelaskan inspirasi dan usaha agar manusia mampu melonjakkan potensi berlandaskan nilai diri berteraskan al-Quran dan sunnah.

Pentadabbur Surah Al Kahf disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail dan Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, Fakulti llmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIAM, Prof Madya Dr Habeeb Rahman Ibramsa.

World#QuranHour diadakan serentak di lebih 2,100 lokasi berdaftar dalam negara dan lebih 79 lokasi dari 27 negara.

Program itu anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), UIAM dan WUIF.

#QuranHour menjadi asas penyatuan ummah tanpa mengambil kira perbezaan kedudukan, latar belakang dan ideologi dalam mengagungkan al-Quran seterusnya mewujudkan dunia yang berbudi dan penyayang.

Sementara itu, Hussamuddin yang juga Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd berkata, mesej mengenai acara berkenaan sudah mencapai lebih 1.4 bilion pengguna media sosial di seluruh dunia.

Katanya, beliau meyakini umat Islam memahami al-Quran dapat mengangkat mereka akan menjadi ummah yang kuat.

“Kami berharap gerakkan ini berupaya memberi kesedaran kepada orang Islam untuk faham al-Quran.

“Kita berharap semua pihak termasuk pemimpin negara memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan hasrat ini,” katanya.

Berita Harian X