Sabtu, 1 Jun 2019 | 6:44pm

TPM ucap takziah atas pemergian Ani Yudhoyono

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas wanita pertama Indonesia, Ani Yudhoyono, yang meninggal dunia, hari ini.

“Salam takziah buat keluarga @SBYudhoyono dan seluruh rakyat Indonesia atas pemergian bekas wanita pertama, Ani Yudhoyono. Semoga tabah menghadapi berita duka ini,” katanya menerusi catatan dalam laman Twitter rasmi beliau.

Ani, 66, isteri Presiden Indonesia ke-6, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY), meninggal dunia di National University Hospital Singapura akibat kanser darah pada jam 11.50 pagi tadi.

Beliau menjalani rawatan penyakit kanser darah di hospital itu sejak Februari lalu.

Dr Wan Azizah berada di Arab Saudi bagi mengetuai delegasi Malaysia pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Sesi Ke-14.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga SBY.

“Baru menerima berita sedih, isteri kepada bekas Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono @SBYudhoyono, Ibu Ani Yudhoyono, meninggal dunia.

“Saya ucapkan takziah kepada Pak SBY sekeluarga. Semoga tabah menghadapi ujian berat ini. Al-Fatihah,” katanya juga menerusi catatan dalam Twitter rasmi beliau. – BERNAMA

Berita Harian X