Selasa, 4 Jun 2019 | 4:00pm
LATHEEFA Koya. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Latheefa Koya dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM

PUTRAJAYA: Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Beebi Koya dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan Latheefa Koya adalah selaras dengan Subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 dengan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

“Pelantikan ini adalah antara langkah pembaharuan penting ke arah proses reformasi institusi kerajaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM (Akta 694), Yang di-Pertuan Agong turut memperkenankan permohonan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull untuk memendekkan tempoh kontrak perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya SPRM lebih awal daripada sepatutnya pada 17 Mei 2020.

“Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Seri Mohd Shukri yang banyak berjasa kepada negara selama beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya.

Latheefa Beebi Koya atau turut dikenali sebagai Latheefa Koya adalah Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Dilahirkan di Kerala, India, beliau adalah peguam dan aktivis hak kemanusian yang aktif melalui Lawyers for Liberty.

Selepas menubuhkan Lawyers for Liberty pada tahun 2011, Latheefa menjadi penasihat sehingga 2018 sebelum menjadi Pengarah Eksekutif sehingga kini.

Pada 21 Mei tahun lalu, Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Mohd Shukri sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi tempoh dua tahun iaitu mulai 18 Mei 2018 sehingga 17 Mei 2020.

Mohd Shukri, 58, berkhidmat selama 32 tahun di SPRM sebelum bersara pada 4 Oktober 2016 dengan jawatan terakhir sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM.

Berita Harian X