Jumaat, 7 Jun 2019 | 2:46pm
MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir pada Majlis Sambutan Aidilfitri Peringkat Parlimen Pagoh di Dewan Orang Ramai Felda Sri Ledang, Tangkak, hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Pelantikan Latheefa ikut prosedur, tak wajar dipersoal

TANGKAK: Semua pihak tidak wajar mempersoalkan pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, kerana ia dibuat mengikut prosedur yang betul.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau berasakan tidak wajar untuk mana-mana pihak untuk mempersoal atau mempertikaikan pelantikan itu.

“Dari segi Perlembagaan dan kuasa eksekutif ia dibuat mengikut prosedur yang betul. Cuma yang berbangkit sekarang ialah soal politik.

“Mereka mempersoalkan isu politik mengikut tafsiran masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Peringkat Parlimen Pagoh di Dewan Orang Ramai Felda Sri Ledang di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Ahli Parlimen Pagoh, berkata pihaknya mengakui perkara ini terkandung di dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dan ia juga sudah dijelaskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya fikir kita tak nak lagi persoalkan (isu pelantikan). Perkara ini terletak di bawah urus setia PH dan boleh ingatkan bukan saja perdana menteri tetapi juga lain-lain menteri kerana beberapa yang kita senaraikan dalam manifesto itu menjadi satu janji yang harus kita tunaikan.

“Mungkin kerana kita baharu lagi (menjadi kerajaan), kita kadang-kadang belum lagi meneliti perkara itu. Jadi untuk di masa hadapan supaya selari dengan apa yang kita kemukakan dalam manifesto, maka baik jugalah perbincangan diadakan di peringkat tertinggi,” katanya.

Beliau berkata, isu ini juga bukan soal mempertikaikan hak istimewa kerana prerogatif dalam isu ini adalah Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

“Apa pun dari segi politik, ada baik sebagaimana yang disarankan oleh pemimpin PH supaya ada sedikit perbincangan supaya kita dapat ĺmemperingatkan mengenai perkara yang sudah kita janjikan untuk membuat keputusan, itu keputusan kita.

“Saya yakin Perdana Menteri akan bincang dengan pimpinan tertinggi PH supaya mereka faham dan tahu sebagai langkah akhir, itu keputusan Perdana Menteri.

“Itu juga adalah proses dalam Perlembagaan dan saya tak fikir sesiapa boleh pertikaikan soal itu,” katanya.

Berita Harian X