Jumaat, 7 Jun 2019 | 6:46pm
ALIRAN trafik sesak di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan ketika tinjauan sekitar jam 1.30 tengahari pada hari ketiga. - NSTP/Abdullah Yusof

Trafik perlahan di lebuh raya utama petang ini

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan setakat jam 5.50 petang ini.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi berkata, trafik bergerak perlahan susulan kesesakan lalu lintas dari Gurun ke Pendang, Sungai Petani ke Bertam, Sungai Dua ke Permatang Pauh seterusnya ke arah Perai.

“Trafik dilaporkan bergerak perlahan dari Bukit Merah sehingga Taiping, Changkat Jering ke Bukit Berapit dan Kuala Kangsar ke Terowong Menora, Ipoh ke Simpang Pulai, Tapah ke Gopeng seterusnya ke Bidor dan Sungkai.

“Bagi arah Selatan pula, trafik perlahan dari Hentian Senawang ke Port Dickson, Simpang Empat ke Pedas Linggi, Tangkak ke Jasin, Sedenak ke Kulai, Bangunan Sultan Iskandar dari Singapura menuju ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, trafik perlahan di lebuh raya Kuala Lumpur-Karak dari arah Bentong ke Bukit Tinggi dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 susur masuk ke Plaza Tol Kuala Terengganu.

“Aliran trafik di LPT 1 di kedua-dua arah setakat ini dilapor lancar dan trafik dijangka meningkat pada sebelah malam,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. – BERNAMA

689 dibaca
Berita Harian X