Sabtu, 8 Jun 2019 | 1:39pm
BEKAS Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull ketika sidang media berkaitan pemendekkan jawatan beliau sebagai Pesuruhjaya SPRM di Putrajaya. NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Latheefa mampu jadi KP SPRM yang baik - Mohd Shukri

PUTRAJAYA: Peguam Latheefa Koya perlu diberi peluang memimpin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain mampu menjadi Ketua Pesuruhjaya yang baik jika berpegang kepada tiga perkara termasuk tidak gentar dengan tekanan pihak berkepentingan.

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, berkata beliau yakin Latheefa yang dipercayai seorang yang tegas boleh melakukan yang terbaik untuk SPRM dan negara dalam membanteras gejala rasuah.

“Bagi saya, ada beberapa perkara yang perlu dibuat untuk menjadi orang nombor satu dalam SPRM iaitu pertama, melakukan perkara yang betul dengan cara yang betul; kedua, bebas, neutral dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

“Perkara ketiga pula adalah, jangan takut ditekan, jangan takut dibuang kerja dan jangan tunduk pada desakan.

“Sekiranya Latheefa berpegang pada tiga perkara ini, saya percaya beliau mampu menjadi pemimpin yang baik malah kehadirannya sebagai peguam ke dalam SPRM, boleh membawa idea korporat dan menggabungkan inisiatif kerajaan dalam usaha membanteras rasuah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Shukri berkata, semua pihak perlu berlapang dada dengan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya yang baharu secara bebas.

“Jangan risau, yang buat kerja operasi adalah pegawai SPRM yang terlatih, bukannya Ketua Pesuruhjaya. Saya tidak buat kerja pun, saya hanya menggerakkan pegawai sahaja. Isu neutral ataupun tidak, beri peluang kepada beliau membuktikannya.

“Malah, saya tidak akan pertikai kuasa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.. itu kuasa beliau untuk melantik sesiapa saja.

“Siapa yang pertikai (pelantikan Latheefa), saya rasa itu buang masa. Apa yang penting beri peluang dan sokongan kepada Ketua Pesuruhjaya baharu untuk jalankan tugas beliau,” katanya.

Mohd Shukri berkata, sepanjang setahun memegang jawatan terbabit, SPRM mencapai kejayaan besar yang tidak pernah berlaku dalam sejarah agensi terbabit termasuk Badan Pencegah Rasuah (BPR) apabila seramai 1,300 orang ditangkap.

“Jika dipecahkan tangkapan itu, seramai 30 ahli politik, 13 pegawai pengurusan tertinggi, 30 ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta, 137 pegawai pengurusan profesional.

“Malaysia sudah capai status pencapaian kadar sabitan rasuah sebanyak 91 peratus yang hanya dibuat dalam tempoh setahun. Malaysia sudah setaraf dengan Singapura dan Hong Kong dalam usaha membanteras rasuah.,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Shukri berkata, beliau tidak tahu apa yang netizen mahukan kerana pelbagai kejayaan diperoleh termasuk dua misi utama yang menyebabkan beliau menerima jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM sudah diselesaikan.

“Sekarang ini, saya mahu bersara dengan baik dan saya tidak pernah bergaduh dengan Dr Mahathir ataupun mana-mana orang politik.

“Saya merayu, biarkan saya keluar dari SPRM dengan aman kerana saya sudah buat terbaik pada negara… semua ini sudah dirancang dari awal sebelum saya dilantik. Saya berpegang pada janji dan integriti yang saya pertahankan sejak 33 tahun,” katanya.

Berita Harian X