Ahad, 9 Jun 2019 | 10:58am
ALIRAN trafik bergerak perlahan pagi ini di Plaza Tol Kuala Terengganu berikutan orang ramai mula pulang ke destinasi selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri. - Foto Imran Makhzan

Aliran trafik di lebuh raya utama perlahan pagi ini

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilapor perlahan setakat jam 10 pagi ini berikutan orang ramai berpusu-pusu meninggalkan kampung halaman sebelum berakhir cuti Aidilfitri.

Maklumat daripada PLUS Trafik menunjukkan trafik pagi ini sesak di Bangunan Sultan Iskandar dari Singapura menuju ke Malaysia sementara perlahan dari Tangkak ke Jasin.

Trafik turut dilaporkan perlahan selepas terowong menuju hentian sebelah Simpang Pulai (Selatan), kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah ke Bidor, Bidor ke Sungkai dan Bukit Tagar ke Bukit Beruntung.

Keadaan trafik perlahan turut berlaku dari Bukit Merah ke Taiping (Utara) kerana terdapat satu kemalangan di Kilometer (km) 204.2 arah selatan menyebabkan lorong kanan terhalang.

Maklumat daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Trafik pula menunjukkan bahawa trafik perlahan dari Karak ke Plaza Tol Bentong dan Lentang ke Bukit Tinggi.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - BERNAMA

Berita Harian X