Isnin, 10 Jun 2019 | 3:38pm

IJN catat sejarah bedah jantung bayi kembar siam tiga bulan

KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) menempa sejarah melaksanakan prosedur pembedahan jantung kompleks pesakit yang juga bayi kembar siam selepas kejayaan membetulkan saluran darah utama atau Transposition Great Artery (TGA), baru-baru ini.

Pembedahan disempurnakan Pakar Klinikal Kardiotorasik IJN, Dr S Sivakumar, adalah pertama seumpamanya di negara ini, pada 16 Mei.

Sesi pembedahan ke atas Aleesa Hana Mohd Saiful Riduan, berusia tiga bulan dilakukan selama empat jam dengan dibantu pakar perunding kardiologi pediatrik, Dr Leong Ming Chern.

Dr Sivakumar berkata, sesi pembedahan begitu mencabar kerana membabitkan kanak-kanak kembar yang sebelum ini sudah dipisahkan di bawah usia setahun dengan pelbagai komplikasi kesihatan terutama membabitkan sistem pernafasan.

Beliau berkata, didiagnosis bayi ini pada usia beberapa hari, hanya terdapat satu aorta dan arteri pada jantungnya. Keadaan ini berbeza kepada individu normal yang mempunyai dua arteri. Selain keadaan jantung bayi berada pada kedudukan terbalik.

Katanya, pemeriksaan mendapati tiada arteri ke paru-paru (membawa darah beroksigen). Ini menyebabkan tubuhnya bertukar biru.

“Memandangkan kesihatan bayi tidak stabil disebabkan luka bagi memisahkannya dengan pasangannya belum sembuh sepenuhnya ketika itu, kami menasihatkan pakar di Hospital Likas supaya memasang ‘stent’ dan diletakkan dalam unit penjagaan rapi (ICU).

“Pada masa sama bayi ini terpaksa diberi bantuan pernafasan menggunakan mesin. Memandangkan terlalu lama menerima tekanan menyebabkan paru-paru kirinya membengkak, manakala paru-paru kanan pula mengecil, hampir tidak berfungsi.

“Selepas keadaan stabil bayi diterbangkan ke IJN untuk rawatan lanjut,” katanya pada sidang media di IJN, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Pusat Jantung Kanak-kanak (PCHC), Dr Hasri Samion dan Timbalan PCHC (Unit Penjagaan Rapi), Dr Khairul Faizah Mohd Khalid.

Mengulas lanjut, Dr Sivakumar berkata, pembedahan ‘Arterial Switch Operation’ bertujuan membetulkan saluran arteri pulmonari ke paru-paru.

“Jantung mengepam darah menerusi Aorta ke ventrikal kanan dan darah beroksigen ini kemudian dihantar ke paru-paru menerusi arteri pulmonari (injap kiri).

“Kami menukar salur darah berkenaan dengan menyambungkan arteri ke paru-paru bagi membolehkan udara sampai ke organ berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Dr Khairul Faizah berkata, ketika menjalani rawatan di ICU Aleesa Hana dipantau 24 jam oleh pakar pediatrik kardiologi dan jururawat terlatih khusus bagi memantau keadaan paru-parunya.

“Pemantauan bagi memastikan keadaan paru-paru stabil selain memerhatikan perubahan pada bengkak surut supaya kembali normal,” katanya.

Kini beliau berkata, pesakit tidak lagi menggunakan alat bantuan pernafasan dan sudah pun keluar ke wad biasa. Malah pernafasannya normal hanya menggunakan getah pada hidung.

“Aleesa Hana akan dibenarkan pulang ke Kota Kinabalu esok untuk ditempatkan di wad pediatrik Hospital Likas, sehingga keadaannya benar-benar stabil,” katanya.

Pakar Klinikal Kardiotorasik IJN, Dr S Sivakumar (kiri) bersama Dr Hasri Samion (tengah) dan Dr Khairul Faizah Mohd Khalidpada sidang media selepas kejayaan membetulkan saluran darah utama atau Transposition Great Artery (TGA), baru-baru ini. - NSTP/Aizuddin Saad
Berita Harian X