Isnin, 10 Jun 2019 | 5:37pm
Menteri pendidikan, Dr Maszlee Malik ajak Latheefa bincang cegah rasuah menerusi pendidikan. - NSTP/Aizuddin Saad

Maszlee ajak Latheefa bincang cegah rasuah menerusi pendidikan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan mengalu-alukan kesediaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mahu membabitkan bidang pendidikan dalam usaha membentuk budaya tidak bertoleransi dengan rasuah.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata Kementerian Pendidikan sedia bekerjasama kepada SPRM bagi membantu agensi itu menggunakan medium pendidikan untuk mendidik masyarakat berhubung keburukan jenayah rasuah.

Sehubungan itu, beliau menjemput Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Latheefa Koya hadir ke pejabatnya bagi membincangkan ruang kerjasama yang boleh dilaksanakan kedua-dua pihak.

“Kementerian Pendidikan tertarik dengan kenyataan media Latheefa mengenai usaha membabitkan bidang pendidikan dalam usaha membentuk budaya tidak bertoleransi dengan rasuah.

“Kami mengalu-alukan usaha seperti ini dan bersedia memberikan kerjasama penuh kepada SPRM. Pendidikan adalah teras penting dalam mendidik masyarakat keburukan jenayah rasuah.

“Saya juga ingin menjemput Latheefa ke pejabat bagi mengadakan perbincangan lanjut untuk meneroka pelbagai ruang kerjasama yang boleh dijalin ke arah matlamat Malaysia bebas rasuah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, Latheefa dalam satu kenyataan menzahirkan hasrat meneroka tindakan jangka panjang, termasuk bidang pendidikan bagi mewujudkan budaya tidak bertoleransi kepada rasuah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Latheefa turut menyifatkan rakyat Malaysia memiliki hak asas untuk dibenarkan hidup, bekerja dan makmur dalam satu persekitaran bebas rasuah.

Dalam kenyataan sama, bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu turut bersifat terbuka terhadap pihak yang menyoal, mengkritik atau mengeluarkan pendapat masing-masing berhubung pelantikan beliau mengetuai SPRM.

Berita Harian X